Penebusan Tanah Pulau Silikon Cecah 202 Hektar Setakat Okt 2026 -- Chow
GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Sebanyak 202.3 hektar tanah telah ditebus guna di Pulau Silikon sejak kerja-kerja penambakan dimulakan pada September 2023 sehingga Oktober 2026, menandakan kemajuan ketara dalam pembangunan hab pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang yang seterusnya.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembangunan itu dibayangkan untuk melengkapkan industri semikonduktor negeri sambil menarik pelaburan dalam teknologi termaju, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi yang dipacu kecerdasan buatan (AI).
“Pelancaran awal Pusat Pengalaman Pulau Silikon menawarkan pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat visi kami mengenai hab pertumbuhan baharu yang akan melengkapkan industri semikonduktor Pulau Pinang selain menarik pelaburan dalam teknologi termaju, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dipacu AI,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
Pulau Silikon juga dijangka dapat mewujudkan pekerjaan berkualiti, membangunkan bakat tempatan, dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling, dengan kemampanan kekal menjadi keutamaan utama.
Chow berkata dengan sokongan dan perkongsian strategik yang betul, kerajaan negeri berharap dapat membawa ekonomi Pulau Pinang ke peringkat seterusnya serta membina masa depan yang lebih kukuh, lebih hijau untuk generasi akan datang.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Silicon Island Development Sdn Bhd berkata Pusat Pengalaman Pulau Silikon kini dibuka kepada agensi kerajaan, pelabur, komuniti tempatan dan rakan kongsi strategik untuk lebih memahami pembangunan seluas 931 hektar itu.
Kemudahan seluas 2,500 kaki persegi itu menampilkan model skala LED interaktif yang mempamerkan komponen utama pembangunan seperti Taman Teknologi Hijau seluas 283 hektar, presint komersial, koridor transit dan lebih 110 kilometer laluan berbasikal serta pejalan kaki khusus.
Dibina dengan kos RM2.5 juta, pusat itu siap dalam tempoh empat bulan.
Pulau Silikon direka bentuk sebagai sebuah bandar pintar dengan akreditasi 5-Diamond Low Carbon City, dengan pembangunannya dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang Pulau Pinang sambil menggabungkan perancangan bandar yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd dan Pengerusi Pembangunan Pulau Silikon Datuk Seri Farizan Darus berkata kerja-kerja penambakan bermula pada September 2023 dan, setakat Oktober 2026, 202.3 hektar tanah telah ditebus guna secara fizikal.
“Kemajuan fizikal kontrak Pan Island Link 2A bernilai RM420 juta juga berjalan lancar.
“Kami menyasarkan pembukaan bahagian pertama jambatan marin yang menghubungkan Jalan Permatang Damar Laut terus ke Pulau Silikon pada Disember 2028 dan akan siap sepenuhnya menjelang Jun 2029,” katanya lagi.
-- BERNAMA