BERITA TERKINI   Kira-kira 75 peratus penghuni penjara di seluruh negara terlibat kes dadah - Saifuddin Nasution | Depot imigresen seluruh negara berdepan tekanan kapasiti susulan operasi penguatkuasaan pendatang tanpa izin - Saifuddin Nasution | Kerajaan akan teliti semula metrik liputan telekomunikasi berdasarkan kawasan berpenduduk (CoPA) supaya rangkumi kawasan aktiviti ekonomi - Fahmi | Kementerian Perpaduan Negara teliti penambahbaikan Akta Pengantaraan 2012 bagi perkukuh Pusat Mediasi Komuniti - Aaron | Agong berkenan kampus UiTM di Jalan Othman dinamakan Kampus Tun Arshad Ayub, hargai jasa dan sumbangannya | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Didagangkan Rendah Minggu Hadapan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan rendah pada pembetulan teknikal antara RM4,100 hingga RM4,200 satu tan.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata harga menurun selepas didorong oleh stok minyak sawit yang tinggi.

Ad Banner

Baru-baru ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia melaporkan bahawa jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 691,835 tan metrik atau 24.54 peratus kepada 3.51 juta tan metrik pada September tahun ini berbanding 2.82 juta tan metrik yang disaksikan pada bulan sebelum ini.

“Stok minyak sawit kami telah mencecah kira-kira 3.5 juta tan metrik yang merupakan yang tertinggi bagi 2026. Dengan cara ini, jajaran harga berkenaan akan membantu mengurangkan kedudukan stok inventori kami,” katanya kepada Bernama.

Mengenai permintaan fizikal, Teh berkata pembeli dijangka datang dari China, India, Pakistan, Asia Barat, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X, David Ng menjangkakan harga kekal dalam jajaran kecil apabila peniaga memantau prestasi eksport Oktober, harga minyak kacang soya dan minyak mentah untuk arah selanjutnya. 

“Kami meramalkan harga akan diniagakan antara RM4,600 hingga RM4,800 satu tan minggu depan,” katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak November 2026 meningkat RM71 kepada RM4,536 satu tan, Disember 2026 menokok RM84 kepada RM4,676 satu tan dan Januari 2027 mengukuh sebanyak RM60 kepada RM 4,769 satu tan.

Sementara itu, Februari 2027 menokok RM42 kepada RM4,852 satu tan, Mac 2027 menambah RM24 kepada RM 4,926 satu tan dan April 2027 berada pada RM4,984.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 604,284 lot berbanding 556,937 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 337,867 kontrak daripada 339,364 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Oktober Selatan meningkat RM50 kepada RM4,500 satu tan.

-- BERNAMA