Bursa Malaysia Rendah Pada Dagangan Awal Selepas Dibuka Tinggi
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, namun menurun kemudiannya berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana di kaunter saham wajaran tinggi terpilih.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 5.38 mata atau 0.33 peratus kepada 1,618.32 daripada 1,623.70 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka tinggi 1.13 mata kepada 1,624.83.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 300 berbanding 136 manakala 281 kaunter tidak berubah, 2,126 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 319.91 juta unit bernilai RM148.84 juta.
Apex Securities memaklumkan sentimen pasaran tempatan dijangka pulih berikutan Wall Street semalaman yang mencatatkan peningkatan semula.
Bagaimanapun, katanya peralihan pelaburan keluar daripada saham teknologi Amerika Syarikat (AS) berkaitan kecerdasan buatan (AI) dijangka menjejaskan kesediaan pelabur untuk mengambil risiko.
Menurutnya, pasaran tempatan yang mencatatkan bacaan negatif ketara pada Khamis turut menunjukkan kecenderungan asas pelabur untuk mengambil risiko masih tidak stabil walaupun indeks petunjuk pasaran kekal berdaya tahan.
“Oleh itu, kami menjangka saham permodalan besar akan memberikan sokongan kepada KLCI manakala penyertaan pelabur dalam pasaran yang lebih luas dijangka kekal sederhana menjelang hujung minggu.
“Secara keseluruhan, kami menjangka KLCI bergerak dalam jajaran kecil, dengan pelabur dijangka memilih saham domestik dan saham defensif tertentu berikutan kesediaan pelabur untuk mengambil risiko yang masih lemah,” menurutnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun enam sen kepada RM10.02 manakala Public Bank mendatar pada RM4.74. CIMB berkurangan 10 sen kepada RM7.38, Tenaga Nasional menyusut 2.0 sen kepada RM12.96 dan IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM7.95.
Dalam dagangan aktif, EGH International yang mula disenaraikan di Pasaran ACE menurun tiga sen kepada 13 sen, Land & General dan Malayan United Industries, masing-masing mendatar pada 18 sen dan 4 sen, YB Ventures menambah satu sen kepada 6.5 sen dan VS Industry naik setengah sen kepada 33.5 sen.
Kaunter paling untung ialah Vitrox dan Malayan Pacific, masing-masing meningkat 18 sen kepada RM10.50 dan RM 40.58, MN Holdings naik 14 sen kepada RM3.80 serta Westports dan Petronas Dagangan, masing-masing menambah 12 sen kepada RM6.85 dan RM19.32.
Kaunter paling rugi termasuklah Dutch Lady Milk menurun 24 sen kepada RM29.04, Petronas Gas merosot 20 sen kepada RM17.40, CIMB dan United Plantations, masing-masing berkurangan 10 sen kepada RM7.38 dan RM30.50 serta Sarawak Oil Palms menyusut 13 sen kepada RM5.10
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 16.30 mata kepada 12,057.22 manakala Indeks FBM Top 100 menurun 20.81 mata kepada 11,855.05.
Indeks FBM Mid 70 naik 47.55 mata kepada 17,287.29, Indeks FBM Emas Shariah menurun 1.14 mata kepada 12,001.40 dan Indeks FBM ACE meningkat 48.98 mata kepada 5,359.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 74.70 mata kepada 18,751.94, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.14 mata kepada 177.06 dan Indeks Perladangan menurun 36.34 mata kepada 8,807.53.
Indeks Tenaga menyusut 0.83 mata kepada 823.70.
-- BERNAMA