MBSB, HDC Bekerjasama Hubungkan PKS Halal Malaysia Dengan Pembeli Global
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- MBSB Bhd (MBSB) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) bekerjasama menerusi inisiatif ‘Global Markets Unlocked Workshop’ bagi melengkapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan halal yang bersedia mengeksport, dengan peralatan, rangkaian perniagaan dan maklumat yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
MBSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan bank itu memberikan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bersedia untuk mengeksport menerusi platform Global Market Access Accelerator (GLOMAX) oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).
Menurutnya platform itu dihasilkan untuk membantu perniagaan Malaysia mengenal pasti peluang pasaran, menjalin hubungan perniagaan antarabangsa dan mempercepat akses ke pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MBSB Rafe Haneef berkata menerusi GLOMAX, iaitu program pemecut akses pasaran bernilai RM100 juta oleh MIDF, bank itu membantu PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang bersedia untuk mengeksport menjalin hubungan dengan pembeli global, rakan strategik dan meneroka peluang pasaran baharu.
Menurutnya pada masa sama usaha itu juga turut memperkukuh kesiapsiagaan pembiayaan syarikat untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hanisofian Alias pula berkata kerjasama dengan MBSB dan langkah memperkenalkan GLOMAX memperkukuh ekosistem yang membolehkan syarikat halal berhubung dengan pembeli, membina perkongsian strategik dan bersaing dengan lebih yakin di peringkat antarabangsa.
Bengkel itu turut menampilkan sesi perkongsian daripada wakil Bank Negara Malaysia (BNM), EXIM Bank dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP).
Peserta akan mendapat maklumat mengenai kesedaran terhadap penipuan dan keselamatan kewangan daripada BNM serta skim jaminan yang disokong kerajaan daripada SJPP, yang dapat membantu PKS halal memperkukuh aspirasi pertumbuhan dan meneroka peluang di pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA