BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan Red Warrior FC 2-5 Star City FC | Raja Permaisuri Agong zahirkan keprihatinan terhadap kesihatan, pendidikan pelajar susulan situasi jerebu - Fadhlina | Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu - MKN | 

Biokenaf Jana Jualan Lebih RM50 Juta - Noraini

JELI, 15 Okt (Bernama) -- Pengkomersialan produk BioKenaf® hasil penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menjana nilai jualan melebihi RM50 juta dan mewujudkan lebih 50 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pencapaian itu membuktikan hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Katanya kejayaan itu turut menunjukkan potensi besar pembangunan komoditi tempatan melalui penyelidikan, penggunaan teknologi dan kerjasama strategik antara universiti dan pihak industri.

Ad Banner

“Pencapaian ini menunjukkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat membuka peluang ekonomi kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Karnival Industri Asas Tani 2026 (AGX’26) di UMK Kampus Jeli di sini hari ini.

BioKenaf® merupakan antara hasil penyelidikan UMK yang diketengahkan pada karnival itu menerusi usaha Dr Maryana Mohamad Noor, yang juga Pengarah AGX’26.

Noraini berkata pembangunan produk berasaskan komoditi tempatan perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan nilai tambah produk serta memperluas akses pasaran, selaras dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya kerjasama antara penyelidik, agensi kerajaan dan pihak industri penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dikomersialkan, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha untuk menghasilkan produk baharu, mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Dalam konteks pembangunan industri kenaf, beliau berkata kerjasama UMK dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mampu membantu memperkukuh penyelidikan, penanaman serta pembangunan produk hiliran berasaskan komoditi itu.

Menurutnya, kenaf mempunyai tempoh matang antara 120 dan 150 hari, dengan pengusaha berpotensi menjana pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sehektar bagi setiap musim.

Katanya LKTN turut menyediakan bimbingan teknikal dan bantuan menerusi program pembangunan kenaf, termasuk Program Ladang Kluster yang menawarkan insentif RM3,800 sehektar secara sekali bayar kepada pengusaha yang memenuhi syarat.

Noraini berkata peningkatan permintaan terhadap produk kenaf berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada penanam untuk membekalkan bahan mentah, sekali gus membolehkan perkembangan industri hiliran menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka.

Katanya tanaman kenaf bukan sekadar berpotensi menghasilkan produk minuman seperti teh, malah mempunyai pelbagai kegunaan industri termasuk pembuatan minyak, bahan binaan kedap bunyi, tilam dan bongkah cendawan.

Justeru, katanya potensi produk hiliran kenaf perlu diperluas melalui promosi dan pendedahan kepada masyarakat mengenai nilai tambah tanaman itu.

Beliau berkata penyelidikan yang dijalankan dengan kerjasama UMK telah berjaya menghasilkan pelbagai produk hiliran yang membantu meningkatkan pendapatan pengusaha.

“Antara kegunaan kenaf ialah penghasilan serat komposit bagi bahan binaan kedap bunyi, selain bahan untuk pembuatan tilam yang mempunyai kilang di Terengganu,” katanya.

-- BERNAMA