FBM KLCI Tinggi Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula pada tengah hari ini, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh kaunter perbankan dan tenaga.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.39 mata atau 0.14 peratus kepada 1,620.40 daripada 1,618.01 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah 1.39 mata kepada 1,616.62, bergerak antara 1,611.17 dan 1,621.32 sepanjang sesi dagangan pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, bagaimanapun, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 815 berbanding 273 manakala 378 kaunter tidak berubah, 1,360 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.99 bilion unit bernilai RM1.49 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meningkat semula selepas pengumuman Belanjawan 2027, yang lebih positif daripada jangkaan.
Beliau berkata walaupun sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan harga minyak mentah yang tinggi, pasaran saham tempatan masih berpotensi untuk menarik aktiviti belian saham pada harga rendah.
“Oleh itu, kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,615 hingga 1,625 hari ini,” katanya.
Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan menjangka FBM KLCI diniagakan secara berhati-hati dengan kecenderungan positif serta keyakinan berterusan terhadap Belanjawan 2027 dan prestasi saham wajaran tinggi terpilih yang kukuh dijangka memberikan sokongan terhadap persekitaran luaran yang lebih mencabar.
“Harga minyak mentah yang tinggi, kenaikan hasil bon global dan ketegangan Asia Barat yang kembali meningkat dijangka terus mengehadkan penilaian saham, terutamanya apabila kemungkinan pengetatan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) masih diambil kira.
“Bagaimanapun, Belanjawan 2027 akan memberikan gambaran mengenai prospek pendapatan domestik, terutamanya sektor yang mempunyai kaitan dengan perbelanjaan isi rumah dan perbelanjaan pembangunan kerajaan,” menurutnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah sembilan sen kepada RM10.04, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.69, CIMB meningkat 14 sen kepada RM7.44 dan IHH Healthcare menokok sembilan sen kepada RM7.99, bagaimanapun, Tenaga Nasional menurun empat sen kepada RM13.00.
Dalam dagangan aktif, JAKS Resources merosot 1.5 sen kepada 15.5 sen dan Zetrix AI berkurangan setengah sen kepada 7.0 sen. Dagang Nexchange menyusut 3.0 sen kepada 48.5 sen.
Bagaimanapun, Top Glove meningkat 2.5 sen kepada 84 sen manakala VS Industry naik setengah sen kepada 33 sen.
Kaunter paling untung ialah Kuala Lumpur Kepong melonjak 20 sen kepada RM20.76, Hengyuan Refining naik 13 sen kepada RM3.68. Bursa Malaysia, RHB Bank dan AMMB Holdings, masing-masing meningkat 12 sen kepada RM8.09, RM7.31 dan RM6.27.
Kaunter paling rugi termasuklah Malaysian Pacific Industries merosot RM2.04 kepada RM40.98, Nestle menurun RM1.02 kepada RM90.08. MI Technovation berkurangan 63 sen kepada RM6.39 serta Vitrox Corporation dan UMS Integration, masing-masing menyusut 50 sen kepada RM10.74 dan RM8.40.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 menurun 172.04 mata kepada 17,310.12, Indeks FBM Emas merosot 26.66 mata kepada 12,079.04, Indeks FBM Top 100 berkurangan 17.46 mata kepada 11,870.39, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 96.52 mata kepada 12,034.55 dan Indeks FBM ACE menurun 109.00 mata kepada 5,451.70.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.62 mata kepada 179.15, Indeks Tenaga naik 0.69 mata kepada 834.85, Indeks Perladangan menurun 16.88 mata kepada 8,795.02 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 172.43 mata kepada 18,766.57.
-- BERNAMA