Belanjawan 2027 Perkukuh Agenda Kelestarian, Daya Tahan Iklim - Kenanga IB
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 memperkukuh hala tuju dasar kelestarian Malaysia merangkumi penyahkarbonan, daya tahan terhadap perubahan iklim dan keterangkuman sosial, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu menyambut baik peningkatan peruntukan pemuliharaan yang dapat menyokong aktiviti yang memberi manfaat kepada alam semula jadi.
Antara langkah yang diketengahkan ialah peningkatan dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM270 juta pada 2027 berbanding RM250 juta pada 2026 bagi menyokong usaha pemuliharaan di peringkat negeri, manakala RM65 juta diperuntukkan untuk renjer biodiversiti komuniti.
Hampir RM320 juta diperuntukkan bagi menaik taraf cerun, sistem perparitan dan longkang di seluruh negara, manakala RM260 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Program Air Tidak Terhasil (NRW) bernilai RM2.5 bilion pula menyasarkan penggantian 1,900 kilometer (km) paip usang, manakala RM100 juta diperuntukkan bagi pembinaan kolam takungan dan penyelenggaraan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di Lembah Klang.
Selain itu, RM15 juta daripada kutipan ses industri sawit akan digunakan untuk menyokong usaha pemuliharaan, khususnya di habitat spesies terancam.
“Bagaimanapun, kami berpandangan bahawa penyusunan dasar mengikut urutan pelaksanaan kekal sebagai pertimbangan utama.
“Ketiadaan pengumuman cukai karbon baharu dalam Belanjawan 2027 mungkin mencerminkan kerumitan pelaksanaan yang masih berterusan, termasuk interaksinya dengan rasionalisasi subsidi bahan api fosil serta keperluan mengimbangi matlamat penyahkarbonan dengan daya saing industri,” menurut Kenanga IB.
Bank pelaburan itu mengenal pasti beberapa sektor yang berpotensi mendapat manfaat, termasuk syarikat tenaga boleh baharu dan teknologi bersih, penyedia infrastruktur tenaga dan grid, kontraktor kejuruteraan dan pembinaan, syarikat infrastruktur air, pengendali rel dan pengangkutan awam serta penyedia perkhidmatan alam sekitar.
Syarikat barangan pengguna dan peruncit yang menawarkan produk pada harga berpatutan juga berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli susulan kenaikan gaji. Sementara itu, penyedia teknologi automasi dan perindustrian dijangka mendapat peluang apabila perniagaan berusaha mengurus kos buruh yang lebih tinggi serta meningkatkan produktiviti.
Bagaimanapun, sektor yang berintensifkan buruh, termasuk pembuatan, perladangan, perkhidmatan makanan, peruncitan, hospitaliti serta perkhidmatan pembersihan dan keselamatan, berdepan kemungkinan peningkatan kos gaji susulan kenaikan gaji minimum, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan.
Perniagaan yang tidak dapat mengimbangi peningkatan kos itu melalui pelarasan harga, peningkatan produktiviti atau automasi mungkin berdepan tekanan margin yang lebih besar. Pada masa sama, kenaikan harga boleh mengurangkan kesan positif peningkatan gaji terhadap perbelanjaan pengguna, menurut Kenanga IB.
Bank pelaburan itu turut mengingatkan bahawa peluang yang dikenal pasti dalam sektor berkenaan tidak menjamin peningkatan pendapatan syarikat kerana pertumbuhan hasil bergantung pada kejayaan memperoleh tender, pelaksanaan projek, pembiayaan dan penyertaan sektor swasta.
Kesan kenaikan gaji minimum juga dijangka berbeza mengikut sektor dan model perniagaan setiap syarikat.
-- BERNAMA