Belanjawan 2027: Pelepasan Cukai Penjagaan Haiwan Peliharaan Meliputi Vaksinasi, Pemandulan
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup dicadangkan diperluas meliputi perbelanjaan penjagaan haiwan peliharaan, termasuk pemvaksinan dan rawatan pemandulan oleh perkhidmatan veterinar berdaftar.
Dalam dokumen Langkah Cukai Belanjawan 2027, Kementerian Kewangan (MoF) berkata peluasan itu turut merangkumi kos pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat perlindungan haiwan yang berdaftar.
Menurut kementerian, cadangan itu bertujuan memupuk nilai ihsan dan empati terhadap haiwan yang memerlukan pemeliharaan.
Had pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup kekal sehingga RM2,500, termasuk peluasan skop yang dicadangkan.
Selain itu, MoF memaklumkan, bagi menggalakkan literasi digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti serta memacu inovasi, cadangan skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup diperluas dengan meliputi perbelanjaan langganan bagi perisian dan aplikasi AI untuk kegunaan sendiri, pasangan atau anak.
“Bagi Kedudukan Semasa mulai tahun taksiran 2024, pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup terhad sehingga RM2,500 diberikan ke atas pembelian bahan bacaan termasuk e-buku, surat khabar harian bercetak/elektronik, pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet dan langganan internet,” maklum kementerian itu.
-- BERNAMA