Pengeluaran Getas Asli Malaysia Meningkat 9.6 Peratus Pada Ogos
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 9.6 peratus kepada 29,510 tan pada Ogos 2026 daripada 26,926 tan pada Julai 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagaimanapun, pengeluaran itu merosot 5.7 peratus berbanding 31,285 tan yang dicatatkan pada Ogos 2025.
DOSM berkata pekebun kecil menyumbang 88.0 peratus daripada jumlah pengeluaran getah asli pada Ogos, manakala estet menyumbang baki 12.0 peratus.
“Jumlah stok getah asli pada Ogos 2026 meningkat 2.0 peratus kepada 134,785 tan berbanding 132,133 tan pada Julai 2026,” kata DOSM dalam laporan Statistik Getah Bulanan Malaysia Ogos 2026 yang dikeluarkan hari ini.
Kilang memproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 76.2 peratus, diikuti kilang pengguna getah (23.7 peratus) dan estet getah (0.1 peratus), menurut jabatan itu.
Sementara itu, eksport getah asli Malaysia merosot 18.2 peratus kepada 33,426 tan pada Ogos daripada 40,881 tan pada bulan sebelumnya.
“China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli Malaysia, merangkumi 47.3 peratus daripada jumlah eksport pada Ogos 2026, diikuti Jerman (15.3 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.4 peratus), Portugal (3.6 peratus) dan Pakistan (3.4 peratus),” menurut DOSM.
Jabatan itu berkata sarung tangan getah terus mendominasi eksport produk berasaskan getah asli, dengan nilai eksport RM1.4 bilion pada Ogos, merosot 16.6 peratus daripada RM1.7 bilion pada Julai.
DOSM berkata harga purata bulanan lateks pekat merosot lima peratus kepada RM6.88 sekilogram pada Ogos daripada RM7.25 sekilogram pada Julai.
Berbanding harga purata getah sekerap, ia bagaimanapun meningkat 4.2 peratus kepada RM7.85 sekilogram daripada RM7.53 sekilogram pada bulan sebelumnya.
Merujuk Data Harga Komoditi Bank Dunia, DOSM berkata harga Technically Specified Rubber (TSR 20) meningkat 4.7 peratus kepada US$2.24 sekilogram pada Ogos daripada US$2.14 sekilogram pada Julai.
Harga getah Singapura/Malaysia (SGP/MYS) pula merosot 1.8 peratus kepada US$2.73 sekilogram berbanding US$2.78 sekilogram pada bulan sebelumnya.
-- BERNAMA