Pelaburan Grid TNB RM15 Bilion Sokong Kestabilan Bekalan Tenaga, Pertumbuhan Industri -- Solarvest
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam grid nasional yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 hari ini menangani keutamaan dan keperluan kritikal bagi memastikan infrastruktur itu dapat menyokong bekalan tenaga yang boleh dipercayai serta peluasan sektor perindustrian.
Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest Holdings Bhd Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan TNB untuk memajukan grid pintar, pengurusan tenaga digital dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berskala utiliti bagi memenuhi permintaan korporat yang semakin meningkat.
Katanya, hal ini susulan pelaksanaan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang dipercepatkan.
“Solarvest komited untuk menyokong penggunaan tenaga bersih di hab ekonomi utama ini daripada ekosistem semikonduktor di Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di Kedah sehinggalah ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Perak serta pembangunan pusat data berteraskan kecerdasan buatan (AI) di Selangor dan Johor.
“Dengan mengintegrasikan penyelesaian grid pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan berasaskan internet pelbagai benda (AIoT) yang canggih, kita dapat mengurangkan kesesakan grid dengan berkesan, memaksimumkan integrasi tenaga solar yang tidak menentu serta memastikan bekalan tenaga yang sangat boleh dipercayai bagi industri kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 berkata TNB akan melabur RM15 bilion untuk memperkukuh grid nasional bagi memenuhi permintaan elektrik negara yang semakin meningkat.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Ja’afar berkata Belanjawan 2027 akan membantu industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia memperkukuh kemampanan, membangunkan kemahiran dalam sektor tenaga baharu serta meluaskan pasaran ke peringkat global.
“Inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 membuka peluang praktikal kepada syarikat OGSE untuk bersedia menghadapi keperluan masa hadapan. MPRC akan bekerjasama dengan industri bagi membantu syarikat-syarikat tersebut merebut peluang berkenaan.
“Melalui Pelan Hala Tuju OGSE dan program-programnya, MPRC akan terus membantu syarikat OGSE Malaysia menterjemahkan langkah-langkah sokongan ini kepada pertumbuhan ketara di dalam dan luar negara, seiring dengan usaha industri membina masa depan yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
-- BERNAMA