BERITA TERKINI   Belanjawan 2027: ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi Disember ini, Malaysia-China sepakat sambung laluan ke Rantau Panjang | Belanjawan 2027: Kadar pendapatan bercukai banjaran RM150,000-RM600,000 diturunkan kepada 16 peratus, beri pendapatan tambahan sehingga RM6,000 kepada 300,000 PKMS | Belanjawan 2027: Kerajaan setuju naikkan kadar insentif pengeluaran getah kepada RM3.30 sekilogram, bakal beri manfaat kepada lebih 300 ribu pekebun kecil – PM Anwar | Belanjawan 2027: Pembiayaan mudah RM200 juta diperkenal bagi biayai kos tanam semula sawit berkeluasan hingga 40 hektar, bayaran balik ditangguh empat tahun, pekebun hanya tanggung faedah dua peratus dan baki faedah ditanggung kerajaan  | Belanjawan 2027: Kemudahan My50 diteruskan, manfaatkan 300,000 pengguna bas dan rel Prasarana di Lembah Klang | 

Pembiayaan, Pengurusan Hutang Kerajaan Persekutuan Terus Utamakan Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) – Strategi pembiayaan dan pengurusan hutang kerajaan Persekutuan akan terus mengutamakan pembangunan negara selain mengimbangi kepentingan untuk mengekalkan daya tahan fiskal serta kemampanan hutang.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, selaras perkembangan yang dicapai menerusi komitmen konsolidasi fiskal, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengawal pinjaman, sekali gus mengurus jumlah hutang terkumpul dan membina semula penampan fiskal selaras dengan objektif fiskal jangka masa sederhana yang ditetapkan di bawah Akta 850 (Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023).

“Mengambil kira mandat ini, keperluan pembiayaan kasar dan pinjaman baharu akan terus diurus secara berhemah dengan pinjaman domestik kekal sebagai sumber utama pembiayaan kerajaan,” maklum kementerian itu  dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027 yang dikeluarkan hari ini.

Ad Banner

Menurut MOF, sehingga akhir Jun 2026, hutang sektor awam Malaysia meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM1,814.4 bilion atau 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM1,758.0 bilion atau 86.8 peratus daripada KDNK pada 2025.

Peningkatan ini didorong oleh hutang kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi merangkumi 76 peratus daripada jumlah hutang sektor awam.

“Hutang badan berkanun dijamin kerajaan meningkat kepada RM113.7 bilion berikutan terbitan baharu oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk menyokong pengeluaran pinjaman perumahan dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi  pinjaman pendidikan,” maklumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu,  hutang bersih syarikat awam bukan kewangan telah berkurangan kepada RM321.9 bilion, disebabkan  terutamanya oleh pembayaran balik prinsipal berjadual oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Pengurusan Air SPV Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd.

“Pengurangan ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan aktiviti pembiayaan daripada entiti seperti Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan Prasarana Sdn Bhd.

“Secara keseluruhan, pendedahan sektor awam terhadap risiko pertukaran mata wang asing kekal terkawal dengan 92.2 peratus daripada jumlah hutang didenominasi dalam ringgit sekali gus menekankan komposisi hutang yang berhemah dan pengurusan risiko mata wang yang berkesan,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA