BERITA TERKINI   Belanjawan 2027: Setakat September, 290,000 pekebun kecil terima RM400 sebulan sebagai bantuan subsidi | Belanjawan 2027: ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi Disember ini, Malaysia-China sepakat sambung laluan ke Rantau Panjang | Belanjawan 2027: Kadar pendapatan bercukai banjaran RM150,000-RM600,000 diturunkan kepada 16 peratus, beri pendapatan tambahan sehingga RM6,000 kepada 300,000 PKMS | Belanjawan 2027: Kerajaan setuju naikkan kadar insentif pengeluaran getah kepada RM3.30 sekilogram, bakal beri manfaat kepada lebih 300 ribu pekebun kecil – PM Anwar | Belanjawan 2027: Pembiayaan mudah RM200 juta diperkenal bagi biayai kos tanam semula sawit berkeluasan hingga 40 hektar, bayaran balik ditangguh empat tahun, pekebun hanya tanggung faedah dua peratus dan baki faedah ditanggung kerajaan  | 

Kelewatan Pelaksanaan Pelaburan Diluluskan Cetus Risiko Struktur - MoF

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kelewatan pelaksanaan antara pelaburan yang diluluskan dengan pelaksanaan fizikal projek menimbulkan risiko struktur terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Kementerian itu berkata meskipun angka pelaburan diluluskan yang tinggi memberikan asas kukuh pengembangan ekonomi pada masa hadapan, projek yang diluluskan tidak semestinya diterjemahkan kepada pelaburan swasta secara fizikal.

“Pada masa ini, dinamik sela masa pelaksanaan dan kadar realisasi antara kelulusan rasmi dengan pelaksanaan fizikal sebenar memerlukan penyelarasan yang lebih baik,” kata MoF dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2027 yang dikeluarkan hari ini.

Ad Banner

Analisis laporan itu menganggarkan peningkatan 10 peratus dalam jumlah pelaburan diluluskan berpotensi meningkatkan pelaburan swasta sebanyak 5.2 peratus, dengan kesannya dijangka direalisasikan dalam tempoh enam hingga 18 bulan.

“Penemuan ini menyokong kewujudan kesan sela masa antara kelulusan rasmi dengan realisasi fizikal berikutan kerumitan projek dan prosedur pelaksanaan yang terlibat,” kata MoF, sambil menambah penubuhan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) pada 2023 dijangka mempercepatkan proses peralihan daripada kelulusan kepada operasi.

Selain itu, MoF berkata kejayaan pelaburan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk, tetapi juga sumbangannya dalam membina keupayaan domestik yang berkekalan, memperkukuh pemindahan teknologi dan perkongsian inovasi serta mengintegrasikan firma tempatan ke dalam rantaian nilai global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pencapaian ini memerlukan tumpuan berterusan terhadap pelaburan berkualiti melalui dasar strategik dan keyakinan pelabur yang mampan, di samping pelaburan awam bersasar, khususnya dalam infrastruktur asas seperti grid elektrik, jalan raya dan utiliti yang kekal penting di kawasan yang sedang berkembang serta mempunyai potensi kukuh untuk menjana aktiviti ekonomi pada masa hadapan.

“Pelaburan awam dan swasta perlu memainkan peranan yang saling melengkapi dalam mengekalkan momentum aktiviti pelaburan serta menjana manfaat ekonomi yang lebih meluas,” katanya.

MoF turut berkata untuk mengekalkan momentum pelaburan swasta, Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih agresif oleh semua agensi penggalakan pelaburan, dengan penglibatan rapat bersama pihak berkuasa berkaitan dan penyedia utiliti bagi mempercepatkan pelaksanaan projek serta menyelesaikan kekangan kawal selia.

“Melangkah ke hadapan, kejayaan ekonomi negara bukan sahaja bergantung pada jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk bahkan keberkesanan mentransformasikan pelaburan tersebut kepada pertumbuhan yang berdaya tahan serta pembangunan sosioekonomi yang lebih luas,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA