Dana Impak Khazanah Salur Pelaburan RM2.6 Bilion Untuk Perkasa Syarikat Tempatan
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Dana Impak Khazanah Nasional Bhd telah menyalurkan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion setakat 31 Disember, 2025, menyokong kira-kira 130 syarikat Malaysia dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia, serta lebih daripada 4,200 bakat.
Laporan Dana Impak Khazanah, dilancarkan hari ini turut menggariskan peranan pemangkin dana tersebut dalam menarik modal dan rakan kongsi strategik bagi menyokong pertumbuhan syarikat serta usahawan Malaysia.
“Sebanyak RM905 juta disalurkan kepada syarikat-syarikat ini telah berjaya menarik modal luaran berjumlah RM433 juta secara langsung, bersamaan dengan 48 sen bagi setiap RM1 yang dilaburkan oleh Khazanah.
“64 peratus daripada lebih 4,200 bakat disokong adalah dalam bidang berkemahiran tinggi,” menurut Khazanah dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata sebagai pelabur jangka panjang dipacu oleh tujuan strategik, Khazanah menyedari bahawa daya tahan Malaysia semakin bergantung pada kekuatan syarikat tempatan, terutamanya apabila pemilihan modal menjadi lebih selektif dan pasaran global semakin kompleks.
“Kemajuan Dana Impak mencerminkan usaha kolektif, iaitu kerajaan, pelabur, pengurus dana, rakan kongsi industri dan institusi bekerjasama untuk memperkukuh syarikat Malaysia merentas kitaran pertumbuhan mereka, meningkatkan daya tarikan pelaburan serta membolehkan akses kepada sumber modal yang lebih besar dari semasa ke semasa,” katanya.
Melihat masa hadapan, Amirul Feisal berkata Dana Impak akan terus memperkukuh keupayaan dan bakat dalam ekosistem strategik.
“Di bawah inisiatif GEAR-uP Kementerian Kewangan, Khazanah akan terus menggerakkan modal dan kerjasama bagi menyokong lebih banyak syarikat serta usahawan Malaysia untuk berkembang, bersaing di peringkat global dan meraih bahagian lebih besar daripada nilai yang mereka cipta,” katanya.
Menurut Khazanah, Dana Impak menggabungkan modal pemangkin dengan usaha pembinaan kapasiti, kerjasama dan jaringan bagi memperkukuh syarikat Malaysia serta membangunkan ekosistem strategik untuk pemacu pertumbuhan baharu.
Sejak 2024, Dana Impak telah memperkemas fokusnya ke arah pendekatan berasaskan program merangkumi tiga bidang: ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan, serta sektor semikonduktor dan pembuatan termaju.
-- BERNAMA