BERITA TERKINI   Kerajaan lulus secara prinsip usul memperkasa Mahkamah Syariah, akan rujuk Majlis Raja-Raja- PM Anwar | Jangan sorok kes buli, salah laku disiplin semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah - PM Anwar | Aspek pendidikan, keselamatan anak-anak di sekolah adalah tanggungjawab bersama ibu bapa dan warga pendidik - PM Anwar | PM Anwar mahu tindakan cepat dan tegas diambil terhadap sebarang kes yang mengancam keselamatan pelajar di sekolah | Malaysia negara pertama berjaya menghantar pulang tahanan Myanmar ke negara asal - PM Anwar  | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Berikutan Momentum Positif Di Wall Street

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, seiring dengan momentum positif Wall Street semalaman, memandangkan harga minyak yang terkawal susulan pemulihan eksport minyak mentah dari Asia Barat, mengimbangi trend penjualan berterusan dalam pasaran bon Perbendaharaan AS.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.14 mata atau 0.44 peratus kepada 1,638.89 berbanding paras 1,631.75 ketika ditutup pada Isnin.

Ad Banner

Indeks utama itu dibuka 4.63 mata lebih tinggi kepada 1,636.38.

Sentimen pasaran secara keseluruhan positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 272 berbanding 202, sebanyak 364 kaunter tidak berubah, 1,944 tidak diniagakan dan 13 digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 440.19 juta saham bernilai RM164.76 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Malacca Securities Sdn Bhd memaklumkan bahawa prestasi positif Wall Street semalaman menyaksikan Dow Jones Industrial Average, S&P 500 dan Nasdaq Composite masing-masing meningkat sebanyak 0.2 peratus, 0.7 peratus dan 1.1 peratus, manakala harga minyak mentah Brent dan hasil Perbendaharaan 10 tahun masing-masing mencecah US$100.3 setong dan 5.3 peratus.

“Di peringkat tempatan, kami menjangkakan pelabur akan terus bersikap selektif menjelang pengumuman Belanjawan 2027, dengan tumpuan diberikan kepada sektor-sektor yang berpotensi mendapat manfaat.

“Syarikat-syarikat dalam sektor mekanikal dan elektrikal mungkin terus menyaksikan minat belian, disokong oleh penekanan kerajaan terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) serta projek tulang belakang Grid Nasional 500-kilovolt Tenaga Nasional Bhd, yang memberi kelebihan kepada syarikat seperti MN Holdings Bhd, Southern Cable Group Bhd dan Powerwell Holdings Bhd,” menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, Malacca Securities menyatakan bahawa usaha mengurangkan air tanpa hasil (NRW) juga mungkin kekal menjadi tumpuan, berpotensi memberi manfaat kepada syarikat seperti ISF Group Bhd dan Ranhill Utilities Bhd.

“Akhir sekali, 99 Speed ​​Mart Retail mungkin menyaksikan minat belian baharu susulan jangkaan peruntukan bantuan pengguna lebih tinggi di bawah Sumbangan Asas Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih kukuh, dengan Nasdaq mencatatkan paras tertinggi baharu apabila pedagang memilih untuk tidak mempedulikan cabaran pasaran semasa dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada saham berkaitan AI bagi mengimbangi kesan kenaikan hasil bon.

“Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,630-1,640 memandangkan pasaran saham tempatan mungkin bersedia untuk aktiviti pembelian saham pada harga rendah,” katanya kepada Bernama.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional naik empat sen masing-masing kepada RM10.04 dan RM13.04, CIMB menokok tiga sen kepada RM7.76, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM7.78, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.71.

Bagi saham aktif, Zetrix AI melonjak setengah sen kepada tujuh sen, Divfex naik satu sen kepada 16.5 sen, Ramssol meningkat 2.5 sen kepada 86 sen, manakala SLGC yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut 3.5 sen kepada 24.5 sen, dan Dagang NeXchange merosot sentengah sen kepada 50 sen. 

Antara saham paling untung, Batu Kawan meningkat RM1.24 sen kepada RM20.22, Nestle dan Kuala Lumpur Kepong menokok 20 sen masing-masing kepada RM90.20 dan RM21.06, Petronas Dagangan melonjak 18 sen kepada RM19.38, dan Genting Plantations menambah 16 sen kepada RM5.82.

HeiTech Padu mendahului saham rugi, susut tujuh sen kepada 88 sen, Thong Guan Industries, Sunway Construction Group dan Allianz Malaysia merosot enam sen masing-masing kepada RM1.44, RM7.55 dan RM20.74, dan UMS Integration menguncup empat sen kepada RM9.36. 

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 bagaimanapun naik 41.29 mata kepada 17,584.78, Indeks FBM Emas meningkat 44.30 mata kepada 12,234.65, Indeks FBM Top 100 menokok 46.09 mata kepada 12,019.47, Indeks FBM Emas Syariah bertambah 39.24 mata kepada 12,108.25, manakala Indeks FBM ACE melonjak 7.73 mata kepada 5,614.34.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.16 mata kepada 179.13, Indeks Tenaga meningkat 1.78 mata kepada 831.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 56.47 mata kepada 19,196.61, manakala Indeks Perladangan naik 73.78 mata kepada 9,004.81.

-- BERNAMA