BERITA TERKINI   Kerajaan lulus secara prinsip usul memperkasa Mahkamah Syariah, akan rujuk Majlis Raja-Raja- PM Anwar | Jangan sorok kes buli, salah laku disiplin semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah - PM Anwar | Aspek pendidikan, keselamatan anak-anak di sekolah adalah tanggungjawab bersama ibu bapa dan warga pendidik - PM Anwar | PM Anwar mahu tindakan cepat dan tegas diambil terhadap sebarang kes yang mengancam keselamatan pelajar di sekolah | 

Biodiesel B15 Jimat Penggunaan Diesel Petroleum Sebanyak 23.62 Juta Liter Sebulan

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan adunan biodiesel B15 berjaya menjimatkan secara purata 23.62 juta liter diesel berasaskan petroleum sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos.  

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelaksanaan itu juga membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api petroleum, mengukuhkan keselamatan tenaga negara serta memanjangkan jangka hayat bekalan diesel sedia ada.

“Penggunaan biodiesel tempatan turut mengurangkan pendedahan negara kepada turun naik harga diesel petroleum di pasaran global, khususnya ketika berlaku ketegangan geopolitik.

Ad Banner

“Keadaan itu berpotensi membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan subsidi diesel dengan lebih berkesan, katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang ingin tahu sejauh manakah pelaksanaan biodiesel B15 dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada diesel petroleum yang terdedah kepada ketidaktentuan harga akibat konflik geopolitik.

Mengenai peningkatan kadar adunan biodiesel, Noraini berkata kerajaan menuju ke arah kadar lebih tinggi, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat berdasarkan kesiapsiagaan, termasuk keperluan menaik taraf logistik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, pendekatan itu mengambil kira harga komoditi, implikasi subsidi dan kelestarian alam sekitar, selain manfaat pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

-- BERNAMA