Malaysia Perlu Harungi Peningkatan Tekanan Geopolitik, Ekonomi Sebagai Negara Perdagangan - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu mengharungi peningkatan ketegangan geopolitik dan tekanan ekonomi sebagai sebuah negara perdagangan yang mempunyai integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perubahan dalam dinamik kuasa global terutama perdagangan, teknologi dan geopolitik mempunyai implikasi yang ketara terhadap negara perdagangan seperti Malaysia.
“Bagi sesebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, dan Malaysia merupakan negara sedemikian yang mempunyai kilang-kilang di tengah-tengah rantaian bekalan cip dunia, perkara ini bukanlah sekadar pertimbangan teori.
“Negara perdagangan yang naif mengenai perkara ini tidak akan kekal sebagai negara perdagangan untuk tempoh yang lama,” kata beliau dalam ucapan pembukaan pada Forum Megatrend Khazanah Nasional Bhd 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia setakat ini berjaya mengharungi cabaran berkenaan dengan mengekalkan hubungan ekonomi yang kukuh dengan pelbagai rakan global.
“Malaysia bertuah kerana mampu mengharungi keadaan yang penuh cabaran ini dengan menumpukan kepada ekonomi dan perdagangan antarabangsa, terus menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara Barat dan Timur, mencatatkan pertumbuhan luar biasa daripada pelaburan dan perdagangan kita dengan Amerika Syarikat dan Eropah serta menganggap China, Korea Selatan, Jepun dan India sebagai sahabat akrab kita,” kata Anwar.
Beliau berkata kedudukan Malaysia dalam ASEAN memberikan sedikit kestabilan, namun menegaskan bahawa kerjasama serantau perlu melangkaui sekadar simbolisme.
“Saya tidaklah naif sehingga menganggap ini sebagai satu laluan yang mudah. Kita bertuah kerana berada dalam ASEAN, dengan kita bersama-sama mendukung prinsip pemusatan ASEAN.
“Tetapi ia mesti bermakna mempunyai keupayaan atau kuasa untuk mempengaruhi perkembangan, bukan sekadar menjadi tuan rumah mesyuarat,” kata Perdana Menteri.
Pada masa sama, Anwar menekankan keperluan penting untuk memperkukuh tadbir urus dan kebertanggungjawaban global berikutan pusat-pusat kuasa dunia berubah dengan pantas dan terus berkembang lebih cepat daripada institusi yang diwujudkan untuk mengawal selianya.
Beliau berkata kekurangan kebertanggungjawaban yang bermakna sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, kekal sebagai kelemahan asas dalam tadbir urus moden, yang menyumbang kepada peningkatan ketegangan geopolitik, tindakan perdagangan secara unilateral dan ketidakseimbangan sistemik.
“Kuasa bergerak lebih pantas daripada institusi yang diwujudkan untuk mentadbirnya,” kata Anwar sambil memaklumkan kebertanggungjawaban demokrasi perlu melangkaui pilihan raya berkala dan dilaksanakan dalam erti kata sebenar.
-- BERNAMA