FIA Bersedia Hadapi Gangguan Geopolitik - Ben Sulayem
Oleh Siti Radziah Hamzah
SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) perlu bersedia menghadapi gangguan tidak dijangka termasuk ketidakstabilan geopolitik melalui pengurusan dan penilaian risiko, kata Presidennya Mohammed Ben Sulayem.
Beliau berkata gangguan besar bukan perkara baharu bagi badan induk sukan permotoran dunia itu, dengan antara cabaran yang pernah dihadapi termasuk pandemik COVID-19 serta peperangan dan ketidakstabilan di beberapa wilayah.
“Saya percaya FIA perlu bersedia menghadapi keadaan seperti ini. Kita perlu sentiasa bersedia menghadapi perkara yang tidak dijangka,” katanya kepada media Malaysia terpilih dalam satu sesi meja bulat media di sini hari ini.
Ben Sulayem berkata FIA mempunyai mekanisme pengurusan dan penilaian risiko bagi menghadapi situasi tidak dijangka, termasuk yang berpunca daripada faktor semula jadi.
Beliau mengulas beberapa persoalan media mengenai bagaimana konflik di Asia Barat memberi kesan terhadap ekonomi dan operasi sukan permotoran global.
Ini juga termasuk kebimbangan mengenai implikasi jangka panjangnya terhadap logistik, kos insurans dan kebolehlaksanaan penganjuran kejuaraan utama di rantau berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata badan induk itu tidak boleh membiarkan keadaan luaran terus menentukan hala tuju sukan permotoran.
Ada perkara yang berlaku secara semula jadi dari semasa ke semasa, tetapi kita tidak boleh membiarkannya mengawal kita, katanya.
Ben Sulayem mengambil contoh penganjuran Grand Prix Bahrain di Malaysia, apabila komuniti sukan permotoran secara keseluruhannya boleh bekerjasama dalam menghadapi gangguan.
“Penganjuran di sini adalah mesej yang disampaikan oleh sukan permotoran bahawa Bahrain, Malaysia, FIA, Formula One Management (FOM), para pelumba dan seluruh komuniti sukan permotoran boleh bersatu.
“Sukan adalah mengenai kemajuan dan ia tidak boleh dipengaruhi oleh pihak yang cuba menggugat kestabilan rantau kita. Jika anda bertanya kepada saya, saya sangat berbangga dengan apa yang berlaku di sini,” katanya.
Grand Prix Bahrain 2026 yang sepatutnya berlangsung pada 10 hingga 12 April bagaimanapun dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Okt berikutan gangguan akibat konflik di Asia Barat.
Ben Sulayem berkata keselamatan dan kesejahteraan orang ramai kekal menjadi keutamaan ketika timbul persoalan mengenai masa depan acara sukan permotoran di Timur Tengah, termasuk perlumbaan Formula 1 di Qatar dan Abu Dhabi.
Keputusan yang dibuat FIA adalah berdasarkan fakta, sambil menyatakan kelulusan Majlis Sukan Permotoran Dunia bagi kalendar 2027 berjalan lancar, katanya.
Ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa Malaysia mungkin menjadi lokasi alternatif bagi ujian pramusim Bahrain pada 2027 sekiranya konflik di Asia Barat berterusan, Ben Sulayem berkata FIA kekal optimistik untuk mengekalkan kalendar seperti yang dirancang bagi tahun depan.
“Ia hanya khabar angin. Mari kita lihat kepada fakta. Adakah kita perlu mula memikirkan Pelan B dan Pelan C? pada saya ia tiada masalah,” katanya sambil menambah bahawa isu di rantau berkenaan sedang diselesaikan dan FIA serta FOM mempunyai pendirian yang sama dalam perkara itu.
Ben Sulayem berkata acara yang mendapat kelulusan FIA di rantau berkenaan, termasuk Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dan rali merentas desa, juga tidak dibatalkan.
“Orang ramai mempunyai pilihan untuk datang atau tidak. Tetapi secara jujurnya, sekali lagi saya katakan, mengapa saya perlu duduk di rumah atau meninggalkan anak-anak saya jika keadaan itu berbahaya? Itu jawapan saya,” katanya.
-- BERNAMA