Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari, dipengaruhi oleh aktiviti penjualan saham-saham berwajaran tinggi terpilih, khususnya saham perbankan, seiring dengan prestasi Wall Street yang lebih lemah.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 13.67 mata kepada 1,656.35 daripada 1,679.02 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 5.91 mata lebih rendah kepada 1,664.11 dan bergerak di antara 1,653.63 dengan 1,665.32 sepanjang sesi pagi.
Antara kaunter perbankan terpilih ialah CIMB yang susut 18 sen kepada RM7.81, Maybank turun lapan sen kepada RM10.08, Public Bank merosot empat sen kepada RM4.75, RHB Bank berkurangan 16 sen kepada RM7.68 dan AMMB merosot lima sen kepada RM6.55.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 646 berbanding 312 manakala 459 kaunter tidak berubah, 1,474 kaunter tidak diniagakan dan 143 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.83 bilion unit bernilai RM1.18 bilion.
Dari sudut teknikal, Apex Securities Bhd memaklumkan bahawa indeks utama kekal dalam jajaran kecil di atas paras sokongan 1,660, dengan tanda-tanda awal penstabilan mula kelihatan apabila FBM KLCI menghampiri trend menurun pada sekitar paras 1,640.
“Pergerakan yang berterusan melepasi paras 1,680-1,685 akan memberikan petunjuk awal mengenai peningkatan momentum jangka pendek, dengan paras rintangan seterusnya berada pada julat 1,700-1,705.
“Bagi penurunan pula, paras 1,660 kekal sebagai paras sokongan terdekat, manakala penurunan di bawah paras tersebut boleh menyebabkan tumpuan beralih aliran menurun itu,” menurut syarikat itu dalam satu nota penyelidikan.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional dan IHH Healthcare menambah empat sen masing-masing kepada RM12.94 dan RM7.99.
Bagi saham aktif, Zetrix AI susut 2.5 sen kepada 16.5 sen, Jaks Resources menambah setengah sen kepada 19 sen, Ni Hsin susut 0.5 sen kepada 38.5 sen, manakala MAG kekal tidak berubah pada 15.5 sen dan JCY International naik 2.5 sen kepada 58 sen.
Antara kaunter paling untung, Solarvest naik 28 sen kepada RM4.40, Ranhill Utilities meningkat 15 sen kepada RM3.34, Southern Cable melonjak 14 sen kepada RM2.90, KLCC Property REITS naik 13 sen kepada RM8.48 dan Petronas Dagangan menokok 12 sen kepada RM19.44.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 merosot 72.29 mata kepada 17,615.47, Indeks FBM Emas susut 84.42 mata kepada 12,330.37, Indeks FBMT 100 turun 87.14 mata kepada 12,119.81, dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 55.22 mata kepada 12,187.10 dan Indeks FBM ACE naik 8.52 mata kepada 5,499.13.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.79 mata kepada 182.01, Indeks Tenaga meningkat 3.86 mata kepada 865.68, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 203.82 mata kepada 19,394.56 dan Indeks Perladangan melonjak 29.22 mata kepada 9,247.71.
-- BERNAMA