PMB Investment Umum Agihan Pendapatan 4.0 Sen Seunit Untuk Shariah Premier Fund
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- PMB Investment Bhd hari ini mengumumkan agihan pendapatan empat sen seunit untuk PMB Shariah Premier Fund dan 3.20 sen seunit bagi PMB Shariah Equity Fund masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2026 dan 30 Ogos 2026.
Dalam satu kenyataan, PMB Investment memaklumkan bahawa PMB Shariah Premier Fund mencatatkan hasil sebanyak 10.40 peratus dan 10.47 peratus pulangan satu tahun dengan agihan kasar berjumlah RM8.69 juta.
“Nilai Aset Bersih (NAB) dana ini diselaraskan daripada RM0.4251 seunit kepada RM0.3851 selepas agihan tarikh pada 31 Ogos, 2026 dan tarikh pelaburan semula pada 1 September, 2026,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, PMB Shariah Equity Fund pula memberi hasil 5.19 peratys atau pulangan satu tahun sebanyak 5.71 peratus dengan jumlah agihan kasar sebanyak RM10.83 juta.
NAB dana itu akan diselaraskan daripada RM0.6516 seunit kepada RM0.6196 selepas agihan, pada tarikh yang sama iaitu 30 Ogos, 2026 dan tarikh pelaburan semula pada 1 September, 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Hang Tuah Amin Tajudin berkata agihan berkenaan merupakan usaha pendekatan pelaburan yang berdisiplin dan konsisten oleh syarikat itu.
Setakat 31 Ogos, 2026, PMB Shariah Premier Fund mencatatkan pulangan kumulatif tiga tahun sebanyak 49.34 peratus, atau purata 16.45 peratus setahun, katanya.
“Sementara itu, PMB Shariah Equity Fund pula mencatatkan pulangan kumulatif sebanyak 33.41 peratus bagi tempoh sama, dengan purata 11.13 peratus setahun.
“Kami optimis terhadap peluang dalam pelaburan patuh syariah dan yakin dengan keupayaan penyelidikan kami untuk memberikan nilai yang berterusan kepada pemegang unit kami,” katanya.
Beliau berkata prestasi memberangsangkan itu bagaimanapun tidak terlepas daripada pelbagai cabaran sepanjang tahun lepas, beberapa segmen ekonomi terjejas, akibat daripada ketegangan perdagangan global, ketidaktentuan tarif, dan kemelut harga minyak serta komoditi akibat situasi semasa di Asia Barat.
Hang Tuah mengaitkan kejayaan pasukannya kepada pengurusan risiko yang ketat dan komitmen teguh terhadap mandat pelaburan.
“Dengan mengelakkan keputusan bersifat reaktif dan terus berpegang pada rangka kerja strategik, kami berupaya mengenal pasti perniagaan yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran pasaran,” katanya.
-- BERNAMA