Bursa Malaysia Dibuka Rendah, Pelabur Ambil Untung Susulan Rundingan AS-Iran
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu apabila pelabur mengambil untung dalam beberapa saham wajaran tinggi terpilih, sekali gus mengurangkan kenaikan baru-baru ini di tengah-tengah rundingan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Prestasi pasaran pada dagangan awal itu turut menjejaki trend bercampur-campur di Wall Street, dengan Nasdaq mencatat paras tertinggi intra hari berikutan minat belian yang tertumpu terutamanya dalam saham teknologi.
Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.98 mata atau 0.35 peratus kepada 1,677.52 daripada 1,683.50 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks itu dibuka 1.31 mata lebih rendah pada 1,682.19.
Sentimen pasaran secara keseluruhan juga menyaksikan 186 kaunter rugi berbanding 174 kaunter untung, manakala 306 kaunter tidak berubah, 2,205 kaunter tidak diniagakan dan 27 kaunter digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 227.52 juta saham bernilai RM119.54 juta.
Presiden AS Donald Trump pada Selasa berkata rundingan dengan Iran menunjukkan momentumnya dan berpotensi membawa kepada satu perjanjian, namun memberi amaran bahawa AS boleh mengambil tindakan ketenteraan selanjutnya terhadap kemudahan nuklear Iran jika perlu.
Trump turut berkata aliran minyak melalui Selat Hormuz meningkat dengan ketara sejak perang bermula, dan berharap situasi dengan Iran dapat berakhir selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada November atau lebih awal.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat pelbagai hala dengan negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Türkiye di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata perkembangan berterusan dalam rundingan AS-Iran memberi tekanan terhadap harga minyak mentah, sekali gus sedikit sebanyak meredakan sentimen pasaran.
Ketika ini, minyak mentah Brent penanda aras susut 0.08 peratus kepada US$99.17 setong.
Bagi pasaran domestik, Thong berkata FBM KLCI meneruskan pemulihan melepasi paras 1,680, disokong aktiviti belian ketika harga rendah secara meluas walaupun Bank of Japan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan minat belian akan terus bertahan, disokong harga minyak mentah Brent yang berada sekitar US$98 setong.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,700 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM10.22, manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing susut satu sen kepada RM4.83 dan RM7.99.
CIMB pula susut lapan sen kepada RM7.82, manakala Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM13.16.
Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI dan Kinergy Advancement masing-masing susut setengah sen kepada 20 sen dan 40 sen, Aimax meningkat setengah sen kepada 1.5 sen, Capital A tidak berubah pada 27 sen, manakala Sunway Healthcare turun tujuh sen kepada RM2.10.
Dalam kalangan kaunter paling untung, KESM Industries meningkat 26 sen kepada RM4.27, MISC menokok 13 sen kepada RM8.08, Petronas Gas mengukuh 12 sen kepada RM17.40, Samaiden naik tujuh sen kepada RM2.41 dan Solarvest meningkat enam sen kepada RM3.76.
Kaunter paling rugi pula, United Plantations susut 24 sen kepada RM33.30, Hengyuan Refining turun 12 sen kepada RM4.18, manakala UWC, Vitrox dan Petron masing-masing merosot lapan sen kepada RM6.58, RM9.92 dan RM3.82.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 29.90 mata kepada 17,814.51, Indeks FBM Emas turun 35.98 mata kepada 12,478.15 dan Indeks FBM Top 100 susut 37.78 mata kepada 12,270.10.
Indeks FBM Emas Shariah pula meningkat 1.01 mata kepada 12,327.39, manakala Indeks FBM ACE menokok 10.21 mata kepada 5,379.32.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.30 mata kepada 184.60, manakala Indeks Tenaga turun 2.74 mata kepada 841.91.
Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 152.34 mata kepada 19,582.34, manakala Indeks Perladangan susut 2.85 mata kepada 9,453.16.
-- BERNAMA