BERITA TERKINI   RCI TH: Bekas timbalan pengurus besar projek pembinaan TH Properties didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan subahat pecah amanah | 

Usaha Sama Gamuda-BMD Peroleh Kontrak Naik Taraf Jalan Di New South Wales Bernilai RM1.8 Bilion

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Syarikat usaha sama Gamuda Bhd dengan B.M.D Constructions Pty Ltd berjaya memperoleh kontrak reka bentuk dan pembinaan bernilai A$624 juta (kira-kira RM1.8 bilion) bagi kerja-kerja naik taraf dua jalan raya di New South Wales, Australia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda memaklumkan Transport for New South Wales menganugerahkan projek Elizabeth Drive Upgrade-Mamre Road Upgrade Stage 2 kepada syarikat usaha sama Gamuda-BMD Joint Venture (GBJV).

Menurutnya, GBJV terdiri daripada Gamuda Engineering Pty Ltd iaitu anak syarikat tidak langsung milik penuh Gamuda dan syarikat pembinaan awam Australia, BMD dengan pegangan penyertaan masing-masing sebanyak 50:50.

“Perolehan yang disasar untuk diperoleh daripada penyertaan efektif sebanyak 50 peratus ialah A$312 juta bersamaan kira-kira RM908 juta manakala kontrak berkenaan bermula hari ini dan dijadualkan untuk siap pada 2030.

Ad Banner

“Kontrak itu melibatkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan awam serta struktur bagi menaik taraf Elizabeth Drive dan Mamre Road sedia ada di Kemps Creek, New South Wales,” jelasnya.

Skop kerja berkenaan merangkumi naik taraf jalan raya sepanjang 4.5 kilometer Elizabeth Drive dan tiga kilometer Mamre Road selain kerja-kerja awam dan struktur berkaitan serta pemindahan utiliti.

Gamuda memberitahu keseluruhan projek itu dianggarkan bernilai kira-kira A$2.0 bilion dan dibiayai bersama oleh kerajaan Australia dan New South Wales.

Ad Banner

"Kontrak yang diberikan ini mewakili pencapaian ketara bagi usaha sama tersebut dan membuktikan keyakinan Transport for New South Wales terhadap keupayaan GBJV dalam penyampaian projek," jelasnya.

"Projek ini penting bagi Gamuda Engineering Australia selain akan memperkukuh lagi keupayaan reka bentuk dan pembinaannya dalam sektor jalan raya di Australia," menurutnya.

Gamuda menyatakan kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan dan pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

-- BERNAMA