BERITA TERKINI   RCI TH: Bekas timbalan pengurus besar projek pembinaan TH Properties didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan subahat pecah amanah | 

PIDM Perkukuh Kesiapsiagaan Krisis, Lindung Pendeposit Menerusi Rancangan 2026-2028

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) memperkukuh agenda kesiapsiagaan menghadapi krisis menerusi Rancangan Korporat PIDM 2026-2028, dengan tumpuan lebih kukuh kepada daya tahan resolusi, perlindungan digital serta meneruskan perlindungan terhadap pendeposit dan pemegang polisi sekiranya institusi anggota berdepan kesukaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Afiza Abdullah berkata PIDM memperteguh peranannya sebagai pihak berkuasa perlindungan pengguna kewangan Malaysia dengan memantapkan kaedah membuat persediaan, menyelaraskan dan melaksanakan tindakan penyelesaian semasa berlaku tekanan.

Ad Banner

“Apabila sesebuah institusi kewangan menghadapi kegagalan, oleh itu kepantasan, kejelasan dan keyakinan adalah penting.

“Usaha kami adalah untuk memastikan jika situasi sedemikian berlaku, sistem telah bersedia, pihak berkuasa menyelaraskan tindakan dan orang ramai terus dilindungi,” katanya kepada Bernama.

PIDM berhasrat untuk menerajui satu bidang iaitu resolusi Islamik, katanya sambil memaklumkan walaupun rangka kerja penyelesaian konvensional telah diwujudkan di peringkat antarabangsa, rangka kerja global yang setanding  bagi institusi kewangan Islam masih belum dibangunkan sepenuhnya.

Ad Banner

“Kami berhasrat untuk memainkan peranan utama dalam memajukan resolusi Islam di peringkat global.

“Matlamat kami adalah untuk menyokong penyelesaian institusi kewangan Islam secara teratur dan pada masa sama memelihara prinsip Syariah sepenuhnya untuk mencapai kestabilan kewangan dan mengekalkan keyakinan dalam kalangan pendeposit dan pihak berkepentingan,” katanya.

Selain pembangunan dasar, PIDM turut menguji tahap kesediaannya melalui latihan simulasi secara berkala yang melibatkan senario kegagalan institusi anggota serta penyelarasan antara pihak berkuasa berkaitan.

Afiza berkata latihan itu bertujuan memastikan PIDM dapat bertindak dengan tegas dan berkesan apabila diperlukan terutama dalam situasi yang memerlukan untuk mengekalkan keyakinan orang ramai.

“Daya tahan teknologi juga merupakan satu lagi keutamaan di bawah rancangan ini berikutan PIDM berusaha memperkukuh tindak balas bukan sahaja terhadap ancaman siber malah risiko yang berlaku daripada teknologi baharu yang boleh menjejaskan sistem, operasi dan proses kritikalnya.

“Apabila teknologi baharu mengubah landskap kewangan, kita perlu terus memahami, menyesuaikan dan mengurus risiko yang timbul bersama. Langkah ini penting bagi memastikan sistem dan operasi kita kekal selamat, boleh dipercayai dan berdaya tahan,” kata Afiza.

Beliau berkata satu lagi keutamaan adalah pelaksanaan Rangka Kerja Penilaian Kebolehselesaian (RAF) yang akan memberikan institusi anggota dengan jangkaan yang lebih jelas mengenai keupayaan, sistem dan pengaturan yang diperlukan bagi menyokong proses resolusi secara teratur.

“Melalui RAF, kami akan memperkukuh kesiapsiagaan dalam kalangan institusi anggota dan meningkatkan daya tahan kolektif merentasi sistem kewangan, sekali gus membolehkan PIDM melindungi deposit serta manfaat insurans dan takaful dengan lebih berkesan, meminimumkan impak dan mengekalkan kestabilan kewangan,” katanya.

Ditubuhkan pada 2005, PIDM mentadbirkan Sistem Insurans Deposit Malaysia yang melindungi pendeposit sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit bagi setiap bank anggota.

Selain itu, PIDM turut mentadbir Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans yang melindungi pemegang sijil takaful dan pemegang polisi insurans yang layak.

Pada masa ini, PIDM mempunyai 45 bank anggota termasuk lima bank digital serta 48 anggota penginsurans termasuk syarikat insurans dan pengendali takaful.

-- BERNAMA