BERITA TERKINI   Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | AirAsia menetapkan sasaran mengumpul dana US$1 bilion, kebanyakannya untuk membiayai semula pinjaman dengan kos tinggi - Tony Fernandes | 

MRCA Cadang Dasar E-Dagang Rentas Sempadan Lebih Ketat Dalam Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA) telah mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan dasar lebih ketat dan menyelaraskan surcaj ke atas urus niaga e-dagang rentas sempadan, termasuk penguatkuasaan cukai jualan lebih tegas terhadap barangan bernilai rendah bagi menjamin hasil negara.

Persatuan itu memaklumkan bahawa peruncit fizikal tempatan terus berdepan dengan jurang pematuhan ketara berbanding platform e-dagang asing yang tidak dikenakan cukai atau dikenakan cukai rendah yang menawarkan harga sangat murah.

"Ketidakseimbangan struktur ini bukan sahaja mengancam perusahaan tempatan malah mengakibatkan hakisan asas cukai yang ketara bagi negara," menurut MRCA dalam satu kenyataan mengenai senarai harapan bagi Belanjawan 2027 hari ini.

Ad Banner

Ia turut menggesa kawalan peraturan yang ketat bagi membendung lambakan barangan tiruan dan berkualiti rendah di platform e-dagang, demi melindungi keselamatan pengguna, mengekalkan piawaian kualiti, serta mempertahankan hak harta intelek pemilik jenama yang sah.

MRCA turut mengambil maklum bahawa perniagaan di Malaysia sedang mengharungi persekitaran semakin kompleks dan berdepan dengan peningkatan kos operasi serta persaingan luaran.

Justeru, MRCA meminta kerajaan melanjutkan pelepasan cukai pelancongan domestik sebanyak RM1,000 sehingga tahun 2027 serta meluaskan skopnya.

Ad Banner

"Daripada mengehadkannya kepada sektor tertentu, pelepasan itu seharusnya merangkumi penginapan hotel dan perbelanjaan beli-belah runcit bersasar secara jelas bagi memaksimumkan kesan pengganda ekonomi pelancongan domestik," menurut kenyataan itu.

Selain itu, MRCA juga mencadangkan pemberian rebat cukai bersasar atau potongan cukai berganda bagi pihak berkepentingan komersial yang melabur dalam peningkatan operasi berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya melibatkan tadbir urus kemudahan dan keselamatan awam.

Belanjawan 2027 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober, 2026.

-- BERNAMA