BERITA TERKINI   PM Anwar akan adakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Narendra Modi semasa lawatan kerja bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS 2026 di New Delhi, India - Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia | ⁠Syarikat guna AI perlu jadikan kepercayaan sebagai kelebihan daya saing, bukan sedar pematuhan - Teo | Strategi AI Malaysia perlu berpaksikan rakyat, bukan sekadar tertumpu kepada keupayaan pengkomputeran, produktiviti - Teo | Malaysia perlu jadi hab pembangunan AI serantau, bukan sekadar pengguna - Teo | Nahas helikopter FDS: Proses bedah siasat lima mangsa belum selesai setakat 5 petang ini - Pesuruhjaya Polis Sarawak | 

AME Elite Peroleh 71.4 Hektar Tanah Di Johor Berharga RM199.84 Juta

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- AME Elite Consortium Bhd, menerusi dua anak syarikat milik penuhnya, akan memperoleh 28 bidang tanah pegangan bebas berkeluasan 71.4 hektar di Pontian, Johor, dengan nilai keseluruhan RM199.84 juta.

Penyedia penyelesaian ruang perindustrian bersepadu itu memaklumkan tanah berkenaan, yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dirancang untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian.

“Tapak berkenaan mempunyai akses yang baik ke Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura. Akses tersebut membolehkan kumpulan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur dan pengilang yang mencari ruang perindustrian bersepadu dalam JS-SEZ,” menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ad Banner

Anak syarikatnya, Pulai Land West Sdn Bhd, memeterai perjanjian untuk memperoleh 17 bidang tanah pertanian pegangan bebas daripada Hak Soon Seng Plantation (M) Sdn Bhd pada harga RM119.96 juta, selain dua bidang tanah perindustrian pegangan bebas daripada penjual yang sama pada harga RM10.09 juta.

Satu lagi anak syarikat, Pulai Land East Sdn Bhd, memeterai perjanjian untuk memperoleh sebidang tanah pertanian pegangan bebas daripada Jumbo Orchids Sdn Bhd pada harga RM5.09 juta dan lapan bidang tanah pertanian pegangan bebas daripada Asia Bricks (M) Sdn Bhd pada harga RM64.70 juta.

“Kumpulan berpendapat cadangan pengambilalihan itu merupakan peluang pelaburan strategik untuk menambah simpanan tanah sedia ada AME Group di lokasi yang strategik,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner

AME Elite memaklumkan selepas mengambil kira prospek pembangunan tanah berkenaan yang menggalakkan, cadangan pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana serta menyokong pertumbuhannya, tertakluk kepada perancangan pembangunan yang sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite Dylan Tan Teck Eng berkata pengambilalihan itu akan mengukuhkan jejak pembangunan perindustrian kumpulan dan membolehkannya memanfaatkan pertumbuhan pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI) yang mengalir ke Johor.

“Walaupun kami telah memperluas kehadiran ke tiga wilayah ekonomi utama di Semenanjung Malaysia, Johor kekal sebagai nadi strategi pengembangan kami.

“Melalui model pembangunan bersepadu dengan kepakaran khusus dalam pembinaan dan kejuruteraan, kami terus mentransformasikan tanah strategik yang belum dimanfaatkan menjadi ekosistem perindustrian bernilai lebih tinggi,” katanya.

AME Elite memaklumkan cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan dijangka selesai pada separuh pertama 2027.

-- BERNAMA