BERITA TERKINI   ⁠Syarikat guna AI perlu jadikan kepercayaan sebagai kelebihan daya saing, bukan sedar pematuhan - Teo | Strategi AI Malaysia perlu berpaksikan rakyat, bukan sekadar tertumpu kepada keupayaan pengkomputeran, produktiviti - Teo | Malaysia perlu jadi hab pembangunan AI serantau, bukan sekadar pengguna - Teo | Nahas helikopter FDS: Proses bedah siasat lima mangsa belum selesai setakat 5 petang ini - Pesuruhjaya Polis Sarawak | RCI TH: Bekas menteri akan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan Isnin depan - KP SPRM | 

SLGC Sasar Raih RM29.4 Juta Melalui IPO, Bakal Disenarai Di ACE Market

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan pembinaan SLGC Bhd menyasarkan untuk meraih RM29.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Okt ini.

Harga IPO ditetapkan pada 28 sen sesaham.

Daripada hasil IPO itu, RM9.2 juta atau 31.4 peratus akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan, RM7.6 juta (25.7 peratus) bagi membayar balik pinjaman bank dan RM7.5 juta (25.5 peratus) untuk modal kerja am.

Ad Banner

Baki RM4.6 juta (15.7 peratus) diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian, manakala RM500,000 (1.7 peratus) akan digunakan untuk menaik taraf perisian pengurusan pembinaan kumpulan.

Pengarah Urusan Yong Zhen Lin berkata tumpuan segera kumpulan selepas penyenaraian adalah melaksanakan projek sedia ada, disokong buku pesanan bernilai kira-kira RM1.0 bilion.

“Kami mempunyai buku pesanan yang besar. Kami masih mempunyai RM1 bilion. Buat masa ini, tumpuan utama kami adalah untuk menyiapkan projek-projek ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus syarikat di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Yong berkata SLGC akan terus memberi tumpuan kepada projek komersial dan perindustrian, selain mengutamakan peluang kontrak reka bentuk dan bina dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Reka bentuk dan bina masih menjadi teras kami, jadi kami akan memberi tumpuan kepada bidang itu. Walaupun masih terdapat banyak peluang dalam pembinaan konvensional, kami akan mengutamakan peluang reka bentuk dan bina,” katanya.

Mengenai kelebihan daya saing kumpulan, Yong berkata SLGC membezakan dirinya dengan meletakkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian dan bukan sekadar kontraktor konvensional.

Sementara itu, Pengurus Besar Gary Wong berkata kos diesel dan logistik kekal antara cabaran yang dihadapi industri pembinaan.

Beliau berkata kumpulan itu telah mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada jentera berkuasa diesel, selain meningkatkan kecekapan logistik dan penggunaan bahan di tapak pembinaan.

“Sebagai contoh, bagi kren menara dan lif penumpang, kami tidak menggunakan diesel. Kami menggunakan sepenuhnya bekalan Tenaga Nasional Bhd untuk meningkatkan kestabilan bekalan,” katanya.

IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 105.0 juta saham biasa baharu, mewakili 18.8 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan SLGC, serta tawaran untuk jualan sebanyak 63.0 juta saham sedia ada, mewakili 11.2 peratus.

Daripada 105.0 juta saham baharu itu, sebanyak 28.0 juta saham ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui proses undian, manakala 2.0 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan kumpulan yang layak.

Sebanyak 70.0 juta saham baharu lagi ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala baki 5.0 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

Kesemua 63.0 juta saham tawaran itu juga akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

Selepas disenaraikan, SLGC dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM156.8 juta berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 560.0 juta saham dan harga IPO 28 sen sesaham.

Permohonan IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 22 Sept 2026.

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penjamin emisi dan ejen penempatan bagi IPO itu.

-- BERNAMA