YPU Sedia Hab Digital Niaga Perkukuh Pemasaran Usahawan Tempatan
KUALA TERENGGANU, 10 Sept (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengambil inisiatif menyediakan Hab Digital Niaga Terengganu bagi memperkukuh keupayaan usahawan tempatan serta memperluas pemasaran produk mereka menerusi platform digital.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu Datuk Ariffin Deraman berkata inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500 usahawan digital yang aktif dan berdaftar dengan YPU di negeri itu.
“Kerajaan negeri melalui YPU membelanjakan RM75,000 bagi menyediakan Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu yang dibangunkan dengan kerjasama TikTok Shop Malaysia.
“Peluncuran studio ini merupakan langkah tepat pada masanya dalam membantu usahawan memperkukuh jenama, menguasai pemasaran digital dan memperluas capaian produk mereka ke pasaran yang lebih besar,” katanya pada majlis peluncuran Market Innovation Showcase 2026 dan Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini hari ini.
Ariffin berkata pada peringkat awal, hab yang dilengkapi dua studio itu akan beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja dan mampu menampung antara 10 hingga 12 usahawan sehari.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya merancang untuk melanjutkan waktu operasi studio hingga malam bagi memenuhi permintaan usahawan selepas aspek keselamatan diperkemas pada masa akan datang.
-- BERNAMA