Bursa Malaysia Tegur Secara Terbuka Techna-X
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Techna-X Bhd kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.
Dalam satu kenyataan, bursa itu memaklumkan syarikat pembuatan bateri berkenaan ditegur kerana gagal menerbitkan laporan tahunannya merangkumi penyata kewangan tahunan beraudit bersama-sama dengan laporan juruaudit dan pengarah bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember, 2025 (AR 2025) menjelang 30 April, 2026.
Bursa itu memaklumkan Techna-X hanya menerbitkan AR 2025 pada 8 Mei, 2026, iaitu selepas lewat selama lima hari urus niaga.
Techna-X juga gagal memastikan laporan suku tahunan keenamnya bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember, 2025, yang diumumkan pada 27 Februari, 2026, mengambil kira pelarasan yang dinyatakan dalam pengumuman syarikat bertarikh 14 Mei, 2026.
Menurut Bursa Malaysia, Techna-X turut dihendaki menjalankan semakan terhad terhadap penyerahan laporan suku tahunannya, dengan semakan terhad itu perlu dilaksanakan oleh juruaudit luar syarikat bagi tempoh empat suku tahun, bermula selewat-lewatnya daripada laporan suku tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 September, 2026.
Syarikat itu juga perlu memastikan pengarah dan pegawai berkaitan menghadiri program latihan mengenai pematuhan terhadap keperluan berkenaan, terutamanya yang berkaitan dengan penyata kewangan, serta memastikan lembaga pengarahnya meneliti dan menilai kecukupan dan kecekapan sumber kewangan serta perakaunan syarikat, termasuk dasar dan prosedur pelaporan kewangannya.
"Walaupun Bursa Malaysia tidak mendapati mana-mana pengarah Techna-X yang menyebabkan atau membenarkan pelanggaran yang dilakukan oleh syarikat, kami ingin menegaskan dan mengingatkan mereka bahawa adalah menjadi tanggungjawab lembaga pengarah untuk mengekalkan standard tanggungjawab dan akauntabiliti yang sewajarnya dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan," tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA