Pasaran Getah Ditutup Tinggi Berikutan Harga Minyak Mentah Kukuh, Ringgit Lemah
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pasaran getah ditutup tinggi hari ini disokong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh dan ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah isyarat bercampur-campur daripada pasaran getah serantau, kata seorang peniaga.
Menurut beliau sentimen pasaran turut dipengaruhi kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan susulan jangkaan fenomena El Niño yang semakin kuat.
Jelasnya, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengunjurkan fenomena cuaca itu akan terus memuncak dan berlarutan sehingga awal 2027 yang berpotensi menjejaskan pengeluaran getah.
"Sentimen pasaran turut disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi dan selari untuk mencatatkan kenaikan mingguan yang ketara di tengah-tengah konflik ketenteraan yang kembali tercetus di antara AS dengan Iran.
"Konflik ketenteraan ini sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan berpanjangan kepada aliran tenaga menerusi Selat Hormuz serta tanda-tanda bekalan inventori yang semakin merosot," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, momentum peningkatan pasaran terbatas berikutan wujudnya kebimbangan terhadap prospek ekonomi AS susulan data ekonomi AS yang lebih lemah, tambah beliau.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 4.5 sen kepada 958.5 sen sekilogram manakala lateks pukal naik dua sen kepada 690.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA