BERITA TERKINI   Liga Super: KRW FC 1-3 KL City FC | Liga Super : JDT 3-0 DPMM FC | Banjir Nepal-China : 55 rakyat Malaysia masih tidak dapat dihubungi setakat 4 Sept - Wisma Putra | Malaysia akan hantar 11 anggota SMART ke Nepal seawal 5 Sept - Wisma Putra | 
Ad Banner

JS-SEZ: Penyelarasan Peraturan, ‘Jendela Tunggal’ Penting Lancarkan Perdagangan

Daripada Mohamad Syazwan Mustafa

SINGAPURA, 4 Sept (Bernama) -- Pewujudan sistem perdagangan sehenti dan penyelarasan piawaian kawal selia antara Malaysia dan Singapura merupakan langkah penting untuk memastikan integrasi rentas sempadan yang lancar serta merealisasikan sepenuhnya potensi ekonomi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut pemimpin industri logistik ekspres.

Walaupun hubungan fizikal merentasi Tambak Johor kekal kukuh, proses kawal selia bukan tarif terus menimbulkan kekangan operasi terhadap pergerakan kargo rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Ad Banner

Pengarah Urusan FedEx Malaysia Woon Tien Long berkata walaupun hubungan perdagangan dua hala kedua-dua negara kukuh, perbezaan rangka kerja kawal selia memerlukan penyelarasan yang lebih cekap.

“Kita masih merupakan dua negara berdaulat yang tertakluk kepada undang-undang masing-masing. Apabila bercakap mengenai piawaian ISO, ia diiktiraf secara universal, tetapi dalam urusan pelepasan kastam atau kawal selia, pengiktirafan lesen dan pensijilan negara lain akan membantu melancarkan perdagangan.

“Sistem perdagangan sehenti boleh merealisasikan kelancaran ini dengan menghapuskan keperluan memohon permit import dua kali,” katanya dalam satu sesi temu bual semasa Jelajah Media Rentas Sempadan FedEx Johor-Singapura di Hab Serantau Pasifik Selatan FedEx di Singapura baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengulas kesiapsiagaan rantaian bekalan menjelang pelaksanaan Pelan Induk JS-SEZ yang dijangka pada Disember ini, Woon berkata pengurusan logistik di sepanjang koridor itu memerlukan penyesuaian berterusan apabila jumlah dagangan meningkat.

“Tiada satu kaedah yang sesuai untuk semua kerana setiap pelanggan, bergantung kepada industri yang diceburi, mempunyai keperluan berbeza. Tugas kami sebagai pengintegrasi adalah mencari kaedah untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.

Pengendali logistik turut menggesa agar sistem pelepasan kastam automatik bagi kargo dari segi digital dan fizikal diperluas, seiring dengan penambahbaikan terkini terhadap pergerakan penumpang serta penggunaan terowong pemeriksaan sinar-X pandu lalu.

“Penambahbaikan pergerakan manusia seperti pengimbasan kod QR diperkenalkan terlebih dahulu kerana barisan penumpang memberikan maklum balas segera, tetapi kini kami memperjuangkan keperluan kargo supaya aliran perdagangan dapat bergerak dengan lancar,” katanya.

Senada dengan pandangan itu, Pengarah Urusan FedEx Singapura Eric Tan berkata industri logistik telah giat mengemukakan cadangan kepada kedua-dua kerajaan bagi menangani prosedur sempadan yang bertindih.

“Bayangkan jika anda seorang pelanggan atau penyedia perkhidmatan -- anda mahu menghapuskan pengendalian berganda dan pertindihan sebanyak mungkin. Sebaik-baiknya, semua dokumen dan pemeriksaan hanya perlu dilakukan sekali,” katanya.

Tan berkata pada Oktober 2025, FedEx menerbitkan kertas putih bersama Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) sebagai peta hala tuju strategik ke arah mewujudkan ekosistem rentas sempadan yang berdaya tahan dan berteraskan inovasi.

“Walaupun usaha ini masih dalam proses, usaha ke arah perdagangan yang lebih lancar ini memberi manfaat kepada keseluruhan industri, termasuk pesaing dan pengguna akhir,” katanya.

Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi itu, FedEx telah mengoptimumkan laluan rangkaiannya dengan menghantar penghantaran masuk dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat secara terus dari habnya di Singapura ke kastam Senai.

Pelarasan rangkaian itu mengelakkan lencongan sejauh kira-kira 300 kilometer melalui Kuala Lumpur sebelum ini, sekali gus memendekkan masa transit penghantaran ke Johor sehingga dua jam.

Tan berkata perdagangan dua hala Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding 2024, dengan kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain.

-- BERNAMA