MAG Jangka Tahun Kewangan 2026 Mencabar Susulan Kenaikan Kos Bahan Api
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) menjangkakan berdepan tekanan ketara terhadap prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2026 berikutan kenaikan berterusan harga bahan api.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A Bakar berkata kenaikan harga bahan api susulan peningkatan konflik di Asia Barat memberi tekanan tambahan kepada kedudukan kewangan kumpulan.
“Semalam, harganya (bahan api jet) adalah US$160 setong. Ia sekali gus memberi tekanan ketara kepada kewangan kami dan akan memberi kesan kepada kumpulan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata kumpulan itu mencatat prestasi operasi yang baik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini serta merekodkan keuntungan sebelum kesan krisis Asia Barat mula dirasai.
Pada masa sama, MAG kekal memantau rapat keadaan pasaran dan membuat pelarasan bersasar terhadap rangkaiannya bagi mengurus kos serta melindungi prestasi kewangan kumpulan.
“Kami sangat berhati-hati, malah, turut melakukan pengurangan secara bersasar terhadap destinasi kami. Setakat ini, kami telah mengurangkan kira-kira lima peratus kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), iaitu kira-kira 8,000 daripada jumlah penerbangan kami,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata MAG akan terus memantau permintaan dan keadaan pasaran setiap hari bagi menentukan pasaran serta laluan yang sesuai untuk mengekalkan prestasi kewangan kumpulan.
Mengenai sokongan kerajaan terhadap industri penerbangan, khususnya menjelang pembentangan Belanjawan 2027, beliau berkata kerajaan telah memberikan sokongan kepada MAG dan syarikat penerbangan lain dalam negara dalam menghadapi persekitaran operasi yang mencabar.
MAG katanya turut mengadakan perbincangan secara berkala dengan kerajaan mengenai langkah yang boleh membantu mengurangkan tekanan kos, termasuk bayaran berkaitan lapangan terbang.
“Kami tahu terdapat banyak cabaran, khususnya berkaitan harga bahan api yang baru-baru ini mencecah paras tertinggi pada US$230 setong, dan itu memberi kesan besar bukan sahaja kepada kami, tetapi juga industri penerbangan global,” katanya.
Sebagai syarikat penerbangan nasional, Nasaruddin berkata penting bagi MAG untuk terus beroperasi dan terbang ke pasaran yang tepat serta menguntungkan bagi menyokong pertumbuhan negara.
Beliau turut mendedahkan bahawa kumpulan itu telah melaksanakan lindung nilai bagi kira-kira 36 hingga 50 peratus keperluan bahan apinya.
“Kami melaksanakan lindung nilai bahan api setiap suku tahun. Bagi 2027, ia bergantung kepada harga bahan api di pasaran. Kami akan terus melaksanakannya dan strategi semasa kami adalah secara bergilir bagi tempoh 12 bulan.
"Strategi lindung nilai ini banyak membantu kami dari segi prestasi sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA