BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan Red Warrior 0-0 Kuching City FC | Piala FA Perak FA 0-1 KL City | Seorang bekas menteri ditahan bagi bantu siasatan isu Tabung Haji, dijangka direman esok - SPRM | Piala FA: UM Damansara United 1-4 JDT | KPK harap Belanjawan 2027 tumpu perkukuh sektor agrikomoditi, khususnya tingkatkan pendapatan pekebun kecil dan daya saing industri - Noraini | 

Sukuk Jangka Pendek IILM US$1.353 Bilion Terlebih Langgan 2.43 Kali

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) hari ini mengumumkan penerbitan semula sukuk jangka pendek bernilai US$1.353 bilion (US$1=RM4.03), menarik permintaan kukuh dan pelbagai daripada pelabur di seluruh rangkaian institusi kewangan Islamnya.

Pertubuhan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata terbitan semula itu merangkumi enam tenor.

Ia terdiri daripada tenor dua minggu berharga pada 4.0 peratus untuk US$379 juta dan tenor sebulan dengan kadar 4.1 peratus bagi US$268 juta. 

Ad Banner

Untuk tenor tiga bulan, sebanyak US$372 juta telah diterbitkan pada 4.2 peratus, tempoh enam bulan ditetapkan pada 4.15 peratus bagi US$127 juta. Tempoh sembilan bulan pula diletakkan pada 4.65 peratus untuk US$94 juta dan tenor dua belas bulan ditutup pada 4.4 peratus bagi nilai US$113 juta. 

Jumlah tempahan yang diterima sepanjang lelongan tersebut mencecah kira-kira US$3.284 bilion, menyaksikan kadar terlebih langganan sebanyak 2.43 kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan. 

“Kekuatan permintaan menunjukkan keyakinan pasaran yang berkekalan terhadap instrumen jangka pendek yang dinilai tinggi oleh IILM, dan dalam peranan yang lebih luas yang dimainkan IILM dalam memudahkan kecairan rentas sempadan bagi industri kewangan Islam,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ia menjelaskan urus niaga hari ini menandakan lelongan sukuk ketujuh belas IILM pada 2026, menjadikan jumlah terbitan bagi tahun itu kepada US$20.851 bilion merentasi 82 ​​siri sukuk dengan tempoh matang yang berbeza-beza. 

Semua terbitan dijalankan di bawah program terbitan sukuk jangka pendek IILM yang bernilai US$8.5 bilion, diberi penarafan “A-1” oleh S&P Global Ratings dan “F1” oleh Fitch Ratings. 

Sukuk jangka pendek IILM diagihkan oleh pelbagai rangkaian dan berkembang membabitkan 17 peniaga utama di seluruh dunia iaitu Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, AlRayan Bank, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Golden Global Investment Bank, Jaiz Bank, Kuwait Islamic Finance House, Kuwait International Bank, Maybank Islamic Bank, Meethaq Islamic Banking oleh Bank Muscat, Standard Chartered Bank dan Bank Nizwa.  

--BERNAMA