BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan Red Warrior 0-0 Kuching City FC | Piala FA Perak FA 0-1 KL City | Seorang bekas menteri ditahan bagi bantu siasatan isu Tabung Haji, dijangka direman esok - SPRM | Piala FA: UM Damansara United 1-4 JDT | KPK harap Belanjawan 2027 tumpu perkukuh sektor agrikomoditi, khususnya tingkatkan pendapatan pekebun kecil dan daya saing industri - Noraini | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Disokong Harga Minyak Kacang Soya

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Selasa, disokong kenaikan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT).

Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kebimbangan berterusan terhadap kesan corak cuaca El Nino terhadap pengeluaran dalam tempoh terdekat turut menyokong harga MSM.

Ad Banner

“Kami melihat harga mendapat sokongan di atas paras RM4,850 satu tan, dengan rintangan pada RM5,050 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani, memaklumkan niaga hadapan MSM meningkat susulan kenaikan kukuh harga minyak kacang soya di CBOT serta niaga hadapan minyak sawit olein ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan minyak kacang soya di Dalian Commodity Exchange (DCE) semasa dagangan Asia, selain harga tenaga yang lebih tinggi.

“Pasaran turut mendapat manfaat daripada diskaun harga minyak sawit yang lebih besar berbanding minyak gas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Buat masa ini, pasaran tidak mengendahkan eksport minyak sawit Malaysia yang lebih lemah pada Ogos serta pengeluaran yang tidak menunjukkan banyak pengurangan,” katanya.

Eksport minyak sawit Malaysia bagi Ogos 2026 dianggarkan oleh Intertek Testing Services (ITS) sebanyak 1.36 juta tan, susut 14.85 peratus daripada anggaran bagi Julai.

“Pasaran kini menunggu anggaran eksport minyak sawit Malaysia bagi bulan penuh daripada AmSpec, serta anggaran pengeluaran daripada Southern Peninsular Palm Oil Millers’ Association, UOB Kay Hian dan Malaysian Palm Oil Association, menjelang tinjauan bekalan dan permintaan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada minggu ini,” katanya.

Sementara itu, Bagani memaklumkan harga minyak mentah meningkat pada Selasa apabila pertempuran antara Amerika Syarikat dan Iran mencetuskan semula kebimbangan mengenai gangguan bekalan dari rantau pengeluar minyak mentah utama dunia.

Pada masa berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 2.18 peratus kepada US$92.46 setong.

Pada penutup dagangan, kontrak September 2026 meningkat RM21 kepada RM4,649 satu tan, kontrak Oktober 2026 menokok RM65 kepada RM4,853 satu tan, manakala kontrak November 2026 meningkat RM79 kepada RM4,973 satu tan.

Kontrak Disember 2026 meningkat RM84 kepada RM5,072 satu tan, manakala kontrak Januari 2027 dan Februari 2027 masing-masing menokok RM82 kepada RM5,203 satu tan dan RM5,237 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 121,554 lot daripada 121,872 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 338,107 kontrak daripada 332,943 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi September Selatan meningkat RM50 kepada RM4,700 satu tan.

-- BERNAMA