BERITA TERKINI   Piala FA Perak FA 0-1 KL City | Seorang bekas menteri ditahan bagi bantu siasatan isu Tabung Haji, dijangka direman esok - SPRM | Piala FA: UM Damansara United 1-4 JDT | KPK harap Belanjawan 2027 tumpu perkukuh sektor agrikomoditi, khususnya tingkatkan pendapatan pekebun kecil dan daya saing industri - Noraini | SPR perlu siapkan kajian semula persempadanan Sarawak dalam tempoh tidak melebihi dua tahun | 

Dasar PMKS Perlu Utamakan Sokongan Bersepadu, Berorientasikan Hasil - MIER

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Dasar Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia perlu beralih daripada sekadar meningkatkan jumlah bantuan kepada pembentukan ekosistem sokongan yang lebih bersepadu, mudah diakses dan berorientasikan hasil, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

MIER memaklumkan pendekatan itu perlu memastikan bantuan yang bersesuaian disalurkan pada peringkat perkembangan perniagaan yang tepat, di samping memperkukuh pengetahuan dan keupayaan institusi serta memaksimumkan pulangan ekonomi dan sosial daripada penggunaan sumber awam.

Menurutnya, cabaran jangka panjang utama ialah pemecahan dan pertindihan program sokongan merentasi kementerian, agensi kerajaan dan institusi kewangan.

Ad Banner

“Walaupun pembiayaan yang besar tersedia, penyelarasan yang lebih baik diperlukan bagi memudahkan akses, mengurangkan pertindihan dan memastikan sokongan sampai kepada perniagaan yang tepat pada peringkat perkembangan yang sesuai,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

MIER turut menggesa supaya penekanan lebih besar diberikan kepada hasil yang dicapai, bukan sekadar jumlah peruntukan yang disalurkan.

Menurutnya, keberkesanan sokongan perlu dinilai berdasarkan petunjuk seperti kelangsungan perniagaan, produktiviti, pertumbuhan pendapatan, pewujudan pekerjaan serta keupayaan perusahaan mikro mencapai kemampanan atau beralih kepada pembiayaan dan pasaran berskala lebih besar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pendekatan maklumat sehenti yang lebih bersepadu dapat membantu usahawan mengenal pasti dan mendapatkan akses kepada pembiayaan, geran, jaminan, bantuan pendigitalan, khidmat nasihat dan pembangunan kemahiran menerusi sistem yang lebih terselaras,” menurutnya.

Institut pemikir itu turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai geran RM200 juta untuk penjaja, peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah menerusi Geran Sejahtera MADANI, selain tambahan RM1 bilion bagi pembiayaan mikro, menjadikan jumlah pembiayaan mikro bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

“Langkah ini menyediakan sokongan tepat pada masanya kepada segmen komuniti perusahaan mikro yang lazimnya berdepan kesukaran lebih besar untuk mendapatkan pembiayaan formal,” menurutnya.

MIER turut mengalu-alukan peningkatan ambang hasil tahunan bagi pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

“Pengecualian bagi perniagaan yang mencatat hasil tahunan tidak melebihi RM3 juta akan mengurangkan kos pematuhan dan keperluan pentadbiran bagi banyak perusahaan mikro dan kecil,” menurutnya.

-- BERNAMA