Pasaran Getah Ditutup Tinggi Sedikit Susulan Harga Minyak Stabil, Ringgit Lemah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Pasaran getah ditutup tinggi sedikit hari ini disokong oleh harga minyak mentah yang stabil dan nilai ringgit yang menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen turut disokong oleh pengeluaran getah asli global yang lebih rendah pada Julai, aktiviti kilang yang lebih kukuh di seluruh Asia dan kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan berkaitan El Niño.
“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya terhad disebabkan data ekonomi China yang lebih lemah, sentimen berhati-hati terhadap prospek kadar faedah Rizab Persekutuan dan ketegangan baharu yang kembali meningkat di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, harga minyak meningkat pada Selasa apabila berlaku ketegangan berulang di antara AS dengan Iran yang mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan di Asia Barat.
Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent naik 1.96 peratus kepada US$92.26 setong.
Sementara itu, peniaga berkenaan memberitahu bahawa Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) melaporkan pengeluaran getah asli global merosot 5.15 peratus tahun ke tahun kepada 1.321 juta tan pada Julai 2026.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) dan lateks pukal masing-masing meningkat 0.50 sen kepada 964 sen sekilogram dan 688.5 sen sekilogram.
Pasaran getah ditutup pada Isnin (31 Ogos) bersempena dengan cuti umum iaitu Hari Kebangsaan.
-- BERNAMA