BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan Red Warrior 0-0 Kuching City FC | Piala FA Perak FA 0-1 KL City | Seorang bekas menteri ditahan bagi bantu siasatan isu Tabung Haji, dijangka direman esok - SPRM | Piala FA: UM Damansara United 1-4 JDT | KPK harap Belanjawan 2027 tumpu perkukuh sektor agrikomoditi, khususnya tingkatkan pendapatan pekebun kecil dan daya saing industri - Noraini | 

El Nino: Kerjasama Rapat Penting Minimumkan Gangguan Operasi Industri - FMM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kerjasama rapat antara kerajaan, pihak berkuasa dan pengilang amat penting bagi meminimumkan risiko gangguan operasi industri sekiranya Malaysia berdepan fenomena El Nino yang teruk dan berpanjangan, menurut Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

FMM memaklumkan amaran awal serta maklumat tepat pada masanya mengenai keadaan bekalan air akan membolehkan pengilang mengaktifkan pelan kontingensi, membuat keputusan pengeluaran dengan lebih berkesan dan mengurangkan potensi kerugian pengeluaran.

Ad Banner

“Sekiranya sesebuah negeri atau wilayah berdepan tekanan bekalan air yang kritikal, perlu ada penyelarasan rapat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menilai sama ada sumber air dari kawasan yang kurang terjejas boleh digerakkan, tertakluk kepada kebolehlaksanaan teknikal dan operasi.

“FMM berpendapat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu bersedia mengaktifkan mekanisme penyelarasan sedia ada apabila diperlukan, khususnya sekiranya terdapat kawasan yang menunjukkan penurunan ketara paras empangan atau takungan,” menurut FMM dalam jawapan kepada Bernama.

Pada peringkat operasi, operator air negeri juga perlu menyediakan maklumat yang berkala, telus dan tepat pada masanya kepada pelanggan industri mengenai potensi gangguan bekalan, langkah catuan serta jangkaan tempoh pemulihan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

FMM memaklumkan kesan El Nino terhadap pengeluaran sektor pembuatan bukan sahaja bergantung pada tahap keterukannya, tetapi turut dipengaruhi keberkesanan pengurusan sumber air dan gangguan bekalan serta langkah yang diambil majikan bagi melindungi pekerja daripada risiko berkaitan cuaca panas.

“Isu kritikal adalah sama ada terdapat amaran awal yang mencukupi dan tindakan tepat pada masanya,” menurut FMM.

 

Pengilang tingkat kesiapsiagaan

 

FMM memaklumkan pengilang di Malaysia sudah mengambil langkah persediaan bagi menghadapi potensi kesan El Nino yang teruk dan berpanjangan, dengan banyak syarikat memasukkan risiko cuaca kering dalam pelan kesinambungan perniagaan dan pengurusan risiko mereka.

“El Nino dan keadaan cuaca kering berpanjangan merupakan risiko berulang, dan banyak pengilang, khususnya industri yang menggunakan air secara intensif, sudah memasukkan senario sedemikian dalam pelan kesinambungan perniagaan dan pengurusan risiko mereka,” menurutnya.

Menurut persatuan itu, tahap kesiapsiagaan berbeza mengikut saiz syarikat dan jenis operasi, namun banyak pengilang mempunyai pengalaman mengurus gangguan bekalan air sebelum ini serta risiko operasi berkaitan iklim yang lain.

Bergantung pada jenis operasi, langkah persediaan termasuk meningkatkan kapasiti penyimpanan air di premis, mempertingkat kecekapan penggunaan dan kitar semula air, mengenal pasti sumber bekalan alternatif serta mengutamakan proses pengeluaran kritikal.

Menurut FMM air merupakan input penting bagi banyak aktiviti pembuatan, manakala cuaca panas berpanjangan berpotensi menjejaskan pengeluaran, meningkatkan kos operasi serta menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada pekerja, khususnya mereka yang bekerja dalam persekitaran panas atau menjalankan tugas di luar.

Antara industri yang berpotensi paling terdedah ialah makanan dan minuman, kimia, elektronik, getah dan plastik, tekstil, pemprosesan logam serta industri berasaskan proses lain yang banyak bergantung pada air bagi tujuan pengeluaran, penyejukan dan pembersihan.

Sekiranya berdaya maju dari segi operasi, pengilang boleh melaraskan jadual pengeluaran atau mengurangkan sementara aktiviti tidak kritikal bagi menguruskan bekalan air yang terhad.

 

Risiko peningkatan kos operasi

 

FMM memaklumkan El Nino yang teruk dan berpanjangan berpotensi meningkatkan kos operasi pengilang, antaranya akibat kos tambahan untuk mendapatkan bekalan air alternatif, peningkatan penggunaan elektrik bagi penyejukan dan pengudaraan serta pelaksanaan langkah perlindungan pekerja daripada cuaca panas.

Keadaan itu juga boleh meningkatkan kos bahan mentah, rantaian bekalan dan logistik, sekali gus menambah tekanan terhadap kos operasi syarikat.

FMM menegaskan campur tangan dan pemantauan kerajaan penting bagi memastikan kos pengangkutan air kecemasan tidak meningkat secara berlebihan, khususnya bagi mengelakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menanggung kos yang tidak munasabah ketika berlaku krisis bekalan air.

“Walaupun pengilang telah mengambil pengajaran daripada gangguan sebelum ini dan semakin memasukkan risiko berkaitan iklim dalam pelan kesinambungan perniagaan mereka, tahap kesiapsiagaan di peringkat syarikat perlu disokong dengan amaran awal, komunikasi telus dan tindakan bersepadu oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, SPAN dan operator air negeri.

“Langkah ini amat penting bagi melindungi operasi sektor pembuatan, pekerja, rantaian bekalan serta daya tahan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya,” menurut FMM.

-- BERNAMA