BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan Red Warrior 0-0 Kuching City FC | Piala FA Perak FA 0-1 KL City | Seorang bekas menteri ditahan bagi bantu siasatan isu Tabung Haji, dijangka direman esok - SPRM | Piala FA: UM Damansara United 1-4 JDT | KPK harap Belanjawan 2027 tumpu perkukuh sektor agrikomoditi, khususnya tingkatkan pendapatan pekebun kecil dan daya saing industri - Noraini | 

PNB Merdeka Ventures Sasar Lebih Banyak Jenama Global Dari India, China Dan Asia Barat - CEO

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd sedang meningkatkan usaha untuk menarik lebih banyak jenama global dari India, China dan Asia Barat ke Menara Merdeka Maybank, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

Beliau yang menekankan nilai-nilai komersial bangunan menarik itu dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini berkata: “Malah, kami sedang dalam proses menandatangani perjanjian dengan dua jenama global dalam sektor kewangan dan teknologi.” 

Ad Banner

Menara Merdeka Maybank merangkumi sebuah menara dengan 84 tingkat ruang pejabat, sebuah hotel mewah 17 tingkat dan dek peninjau tiga tingkat, pusat beli-belah tujuh tingkat yang bersebelahan dengan menara itu, dua menara kediaman serta sebuah bangunan pangsapuri berservis.

Seakat ini, kira-kira 70 peratus daripada 1.64 juta kaki persegi keluasan kawasan boleh disewakan, telah disewa semula, dengan Maybank sebagai penyewa utama yang menduduki 33 tingkat atau kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan ruang pejabat.

Permodalan Nasional Bhd, Bank of America, Copenhagen Infrastructure Partners dan Park Hyatt adalah penyewa sektor hospitaliti dan mereka antara penyewa lain yang menduduki ruang di menara berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain dua jenama global baharu yang namanya dirahsiakan oleh Izwan, beliau menyatakan krisis di Asia Barat boleh mendorong sesetengah syarikat yang mempunyai pejabat serantau di sana untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia dan berpotensi ke Menara Merdeka Maybank.

“Proposisi nilai Kuala Lumpur, iaitu kualiti binaan bertaraf dunia, persekitaran kawal selia yang boleh dijangka dan kelebihan nilai yang kukuh, menambat hati syarikat-syarikat yang sedang menyusun semula jejak serantau mereka.

“Malaysia menawarkan nilai yang luar biasa. Dengan apa yang pelabur bayar, mereka mendapat akses kepada bangunan premium, operasi yang cekap dan pengalaman di kawasan yang bersepadu, iaitu pejabat, peruncitan, kebudayaan dan jaringan pengangkutan di tengah-tengah Kuala Lumpur,” kata Izwan yang dilantik ke jawatan itu pada awal tahun ini.

Sehubungan itu, PNB Merdeka Ventures bergantung kepada strategi empat teras, iaitu ekosistem pejabat, lokasi utama acara yang berpusat di Stadium Merdeka dan Stadium Negara, pelancongan yang diterajui oleh dek peninjau di Tingkat 118, serta mobiliti yang saling berhubung dengan baik.

PNB Merdeka Ventures merupakan pemilik tanah dan penjaga Stadium Merdeka dan Stadium Negara, yang kedua-duanya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

Beliau berkata komuniti hari bekerja yang semakin berkembang di kawasan itu dijangka terdiri daripada kira-kira 10,000 hingga 11,000 pekerja, diterajui oleh firma kewangan dan teknologi terkemuka.

“Bagi penganjuran acara, Stadium Merdeka boleh memuatkan sehingga 20,000 orang manakala Stadium Negara, yang sedang dalam proses baik pulih, boleh menampung antara 8,000 dan 10,000 orang,” kata Izwan, yang mempunyai pengalaman kepimpinan dalam beberapa syarikat terkemuka Malaysia seperti Petronas, KLCC Group of Companies dan Putrajaya Holdings.

Izwan berkata menara pejabat itu dijangka menjana pendapatan bersih hartanah tahunan kira-kira RM160 juta dalam tempoh dua tahun, sejajar dengan unjuran MARC Ratings.

Mengenai perkembangan peruncitan, beliau berkata sektor campuran runcit sedang menuju ke arah pencapaian penting, dengan 118 Mall di landasan yang betul untuk dibuka pada November.

“Penyewa sedang menyusun konsep yang mengutamakan warisan, daripada motif reka bentuk kepada naratif produk, selaras dengan identiti pembangunan itu sebagai hab kontemporari yang berteraskan budaya kebangsaan," katanya.

Penyewa utama pusat beli-belah itu ialah Village Grocer dan Makanism Foodhall, di samping jenama fesyen, gaya hidup serta makanan dan minuman tempatan serta antarabangsa.

Peruncit lain termasuk Adidas, Aldo, Converse, Foot Locker, Guess, Lacoste, Benjamin Barker, Chagee Signature, Nara Thai dan Honolu Ramen, di samping jenama berfokuskan keluarga dan gaya hidup seperti Babyshop, Best Denki, BookXcess dan Happikiddo.

Pusat beli-belah itu juga akan menampilkan Malaysian Artisan District yang khusus, mengetengahkan jenama tempatan termasuk Banglo 289, Batik Boutique, Bayu Somerset dan Cookiecrumbs.

-- BERNAMA