Institusi Tempatan Teruskan Aktiviti Belian Untuk Minggu Kelima Dengan Aliran Masuk RM200.5 Juta - MBSB IB
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan aktiviti belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM200.5 juta minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Dalam Laporan Aliran Dana mingguan untuk minggu berakhir 28 Ogos 2026, bank pelaburan itu memaklumkan purata jumlah dagangan harian menyaksikan peningkatan yang meluas; pelabur runcit meningkat sebanyak 11.6 peratus, institusi tempatan (14.3 peratus) dan institusi asing (96.5 peratus).
“Sementara itu, pelabur runcit kembali kepada belian bersih selepas mencatatkan jualan bersih selama seminggu, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM165.5 juta berbanding aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM42.0 juta pada minggu sebelumnya,” katanya.
Institusi asing meneruskan aktiviti jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM366.0 juta minggu lepas.
“Ini pada minggu dagangan yang singkat, dengan pasaran ditutup pada Selasa bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul.
“Hanya Rabu mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM94.4 juta manakala aliran keluar bersih terbesar direkodkan pada Jumaat (-RM238.7 juta), diikuti Khamis (-RM140.5 juta) dan Isnin (-RM81.1 juta),” menurutnya.
MBSB IB memaklumkan tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah pengangkutan dan logistik (RM129.5 juta), penjagaan kesihatan (RM74.0 juta) dan hartanah (RM32.0 juta).
Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (-RM245.5 juta), pembinaan (-RM92.4 juta) serta telekomunikasi dan media (-RM86.3 juta).
Daripada lapan pasaran Asia yang dipantau oleh MBSB IB, pelabur asing meneruskan aktiviti jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak US$1.68 bilion minggu lepas.
Aliran keluar bersih diterajui terutamanya oleh Korea Selatan, diikuti Thailand, Filipina dan Malaysia manakala Taiwan, India, Vietnam dan Indonesia merupakan satu-satunya pasaran yang mencatatkan aliran masuk asing bersih walaupun ini tidak mencukupi untuk mengimbangi jualan bersih keseluruhan rantau ini.
-- BERNAMA