BERITA TERKINI   Kerajaan akan terus buka ruang, bina ekosistem dan perluas akses kepada usahawan Bumiputera - Ahmad Zahid | Usahawan Bumiputera perlu bina pemilikan, memperbesar skala dan mencipta penguasaan - TPM Zahid | Kerajaan MADANI tidak pernah keluarkan lesen, permit perjudian dan tambah premis judi baharu sejak ambil alih pentadbiran Persekutuan - MOF | RCI TH: Bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan direman tujuh hari hingga 2 Sept - Peguam | Keuntungan bersih Maybank meningkat kepada RM2.69 bilion pada suku kedua 2026 daripada RM2.62 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas | 

Prospek Perniagaan Bagi Suku Ketiga Kembali Pulih Apabila Petunjuk Keyakinan Meningkat-- DOSM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Peniaga menjangkakan situasi perniagaan yang lebih baik pada suku ketiga 2026, dengan petunjuk keyakinan positif sebanyak 5.9 peratus berbanding dengan -1.8 peratus pada suku kedua 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM melaporkan bahawa semua sektor menjangkakan prestasi perniagaan yang lebih baik pada suku ketiga 2026, dengan sektor industri, perkhidmatan, pembinaan, perdagangan borong dan peruncitan menunjukkan sentimen perniagaan yang positif. 

Menurut DOSM, Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi suku ketiga 2026 menunjukkan prospek positif merentasi semua sektor, dengan petunjuk keyakinan keseluruhan sebanyak 5.9 peratus, sekali gus mencerminkan keyakinan yang meningkat dalam aktiviti ekonomi luaran dan domestik. 

Ad Banner

Penerbitan Statistik Kecenderungan Perniagaan itu turut membentangkan mengenai jangkaan prestasi perniagaan bagi tenmpoh tiga dan enam bulan akan datang. 

Statistik itu diperolehi daripada Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan.

Menurut jabatan itu, sektor industri menunjukkan sentimen yang positif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan 8.2 peratus pada suku tahun ketiga 2026 berbanding -3.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan meningkat kepada 4.1 peratus dalam suku rujukan, iaitu peningkatan daripada -9.5 peratus pada suku kedua 2026. 

Selain itu, tambah DOSM, sektor perdagangan borong dan peruncitan turut menjangkakan prestasi yang menggalakkan dengan petunjuk prestasi sebanyak 1.2 peratus, berbanding -7.5 peratus yang direkodkan pada suku kedua 2026. 

“Sektor perkhidmatan menjangkakan prestasi perniagaan untuk kekal optimis, dengan petunjuk keyakinan sebanyak 5.2 peratus berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya,” jelas DOSM. 

Sementara itu, petunjuk keyakinan di peringkat negeri menunjukkan tahap keyakinan perniagaan yang berbeza, dengan kebanyakan negeri mencatatkan bacaan yang positif, iaitu Johor (4.9 peratus), Kedah (5.1 peratus), Kelantan (2.1 peratus), Negeri Sembilan (9.4 peratus), Pahang (7.1 peratus), Pulau Pinang (5.0 peratus), Perak (1.5 peratus), Perlis (5.4 peratus), Selangor (5.8 peratus), Terengganu (10.5 peratus), Sabah (3.7 peratus), Sarawa (5.8 peratus), Kuala Lumpur (9.5 peratus) dan Putrajaya (0.6 peratus). 

Bagaimanapun, Melaka (-3.9 peratus) dan Labuan (-5.4 peratus) merekodkan petunjuk keyakinan yang pesimis. 

“Melihat kepada sentimen perniagaan bagi suku kedua 2026, perniagaan kekal optimis dengan imbangan bersih meningkat kepada 12.9 peratus daripada 7.9 peratus yang direkodkan dari April hingga September 2026. 

“Prospek positif merentasi semua sektor menunjukkan keadaan perniagaan yang menggalakkan sepanjang tempoh jangkaan,” tambah DOSM.  

Dari segi perolehan kasar, DOSM memaklumkan bahawa 31.9 peratus daripada peniaga menjangkakan peningkatan dalam suku ketiga 2026, manakala 47.4 peratus menjangkakan tiada perubahan dan 20.7 peratus menjangkakan penurunan, menghasilkan imbangan bersih sebanyak 11.2 peratus bagi suku rujukan. 

Mengenai pekerjaan, sebanyak 13.9 peratus daripada peniaga menjangkakan peningkatan dalam dalam guna tenaga, manakala 78.3 peratus menjangkakan guna tenaga akan kekal. 

“Sementara itu, 7.8 peratus menjangkakan penurunan, menghasilkan imbangan bersih sebanyak 6.1 peratus pada suku ketiga 2026,” kata DOSM. 

-- BERNAMA