Keuntungan Bersih Hong Leong Capital Lonjak Kepada RM65.56 Juta
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Hong Leong Capital Bhd (HLCB) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 melonjak 12 peratus dari tahun ke tahun kepada RM65.56 juta berbanding RM58.43 juta yang disaksikan pada tahun kewangan sebelumnya.
Perolehan meningkat kepada RM351.31 juta daripada RM348.202 juta pada tahun kewangan 2025.
HLCB melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keuntungan bersihnya yang lebih tinggi ini telah dipacu oleh prestasi yang agak baik daripada Perbendaharaan dan Pasaran serta bahagian Pengurusan Aset, disokong lagi oleh kenaikan keuntungan daripada pelaburan ekuiti.
Bagi suku keempat 2026 berakhir 30 Jun 2026, syarikat perbankan dan perkhidmatan kewangan itu mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak RM18.81 juta berbanding RM17.63 juta yang disaksikan semasa suku yang sama tahun lepas, manakala pendapatan naik kepada RM94.41 juta daripada RM94.25 juta.
Pengerusi HLCB, Tan Kong Khoon berkata pertumbuhan keuntungan bersih dua angka bank itu pada tahun kewangan 2026 telah disokong oleh model perniagaannya yang pelbagai, memberikan kumpulan fleksibiliti kewangan yang amat memberangsangkan khususnya dalam keadaan geopolitik global dan cabaran perdagangan.
“Secara strategik, tumpuan kami terhadap inovasi produk sedang membuahkan hasil. Dalam bahagian pengurusan aset, perkongsian strategik dengan pemain global telah menjana RM793 juta dalam gabungan aset di bawah pengurusan (AUM) dalam tempoh lebih setahun.
“Sementara itu, ciri e-IPO baharu bahagian pembrokeran kami telah menyaksikan penggunaan kukuh, menarik lebih 5,000 permohonan merentasi 40 tawaran awam permulaan (IPO),” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Ketika kumpulan itu melangkah ke tahun kewangan baharu, Tan berkata keutamaan adalah untuk meningkatkan keupayaan operasi melalui kemajuan teknologi.
“Pada masa yang sama, HLCB sedang giat mencari perkongsian global baharu bagi melancarkan dana inovatif dan mengembangkan saluran pengedaran kami untuk memastikan kumpulan berada pada kedudukan yang baik dalam memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin meluas,” katanya.
Memandang ke hadapan, Tan berkata walaupun cabaram luaran dan turun naik pasaran global akan terus menambah ketidakstabilan kepada pasaran, ekonomi Malaysia kekal disokong dengan baik oleh asas teras dalam makroekonomi.
“Oleh itu, pasaran modal domestik bersedia untuk mengekalkan trajektori menaiknya sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti 2026-2030.
“Kami kekal optimistik bahawa mudah tunai domestik yang mantap, pendapatan korporat yang stabil dan tema struktur utama seperti infrastruktur digital dipacu kecerdasan buatan (AI) akan terus menyokong kestabilan pasaran selain memacu penglibatan pasaran modal yang aktif merentasi kedua-dua ruang hutang dan ekuiti,” katanya lagi.
Untuk memanfaatkan peluang baru muncul, Tan berkata HLCB akan terus melaksanakan keutamaan strategik dengan meningkatkan keupayaan digital, membenamkan AI di seluruh perusahaan dan memperkayakan rangkaian produknya.
“Kumpulan itu juga akan terus komited untuk mengembangkan rangkaian rakan kongsi global kami, mengekalkan pengurusan risiko dan kos yang berdisiplin serta memacu nilai jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan kami,” tambah beliau.
-- BERNAMA