Menginsuranskan Perjalanan Negara: Evolusi Industri Insurans Malaysia Merentas Zaman
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sektor insurans di Malaysia memainkan peranan penting sejak era sebelum kemerdekaan sehinggalah ke hari ini dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada individu dan perniagaan, menggerakkan modal dan bertindak sebagai faktor penstabil semasa krisis ekonomi.
Lebih daripada sekadar kemerdekaan politik, evolusi dan kematangan sektor ini daripada menyediakan produk insurans asas, kepada produk yang lebih pelbagai yang memberikan rakyat Malaysia kebebasan kewangan, contohnya bagi menampung kos perubatan untuk penyakit kritikal, serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak.
Apa yang sudah pasti, sektor insurans di Malaysia telah berkembang jauh daripada hanya memenuhi keperluan segmen kecil masyarakat pada suatu ketika dahulu. Tetapi ironinya, walaupun insurans turut ditawarkan sebagai satu bentuk produk simpanan, sebahagian besar rakyat Malaysia masih mempunyai perlindungan insurans yang tidak mencukupi.
Tidak dapat dinafikan sektor insurans menyediakan perlindungan kewangan untuk memastikan kesejahteraan rakyat pada masa sukar dengan produk insurans kini disesuaikan mengikut keperluan khusus seseorang.
Semasa membincangkan evolusi sektor insurans apabila Malaysia mencecah 69 tahun pada 31 Ogos, 2026, Ketua Pegawai Eksekutif MCIS Life Grant Davids berkata walaupun pasaran insurans yang kukuh telah wujud pada awal Tanah Melayu, ia pada mulanya hanya menampung segmen ekonomi yang kecil untuk tujuan yang sangat khusus.
Bagaimanapun, keadaan itu berubah apabila perkembangan industri secara lebih meluas didorong oleh pertumbuhan komuniti di samping wujudnya keperluan mendesak untuk perlindungan bersama.
“Keperluan masyarakat untuk bersatu, khususnya dalam melindungi pencari nafkah dan keluarga, merupakan asas kepada penubuhan MCIS Life,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Apabila jumlah penduduk meningkat, permintaan terhadap produk simpanan jangka panjang turut bertambah.
Davids berkata ini membolehkan rakyat Tanah Melayu melabur untuk masa depan keluarga mereka, terutamanya dalam pendidikan anak-anak.
Pada akhirnya, perkembangan awal industri insurans didorong oleh semangat saling menyokong dan penglibatan aktif dalam kalangan komuniti.
Dalam proses itu, ia menyediakan platform penting untuk rakyat biasa membina komuniti yang lebih luas dan berdaya tahan di luar batasan ekonomi kolonial yang sedia ada.
Davids berkata selama beberapa dekad, industri itu telah matang dengan ketara, berkembang jauh sehingga melangkaui perlindungan asas.
“Apabila anda melihat spektrum luas produk yang ditawarkan hari ini, daripada insurans hayat biasa kepada perlindungan ketidakupayaan dan penyakit kritikal, kita telah menyaksikan rangkaian produk yang lebih pelbagai berkembang untuk memenuhi pelbagai keperluan,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa walaupun industri ini telah berkembang untuk menawarkan produk simpanan yang baik, cabaran besar tetap wujud terutamanya dari segi kesederhanaan produk, mampu milik, dan literasi kewangan.
Secara sejarahnya, beliau berpendapat pasaran pada mulanya memberi tumpuan kepada golongan yang lebih berada, walaupun liputan telah diperluaskan sejak itu.
Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal dengan tahap penembusan insurans negara menunjukkan sebahagian besar penduduk masih mempunyai perlindungan insurans yang tidak mencukupi serta tidak mendapat akses yang sewajarnya kepada produk simpanan dan perlindungan jangka panjang.
Davids berkata langkah kerajaan memperkenalkan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) menjadi bukti dan satu bentuk 'kemerdekaan' untuk rakyat, memastikan semua orang terutamanya mereka yang memerlukan, dilindungi.
Ia juga menunjukkan evolusi industri insurans di Malaysia, di mana inisiatif dan usaha baharu terus diperkenalkan untuk memenuhi keperluan semasa.
“Itu merupakan inisiatif yang penting. Kerjasama antara sektor awam dan swasta memainkan peranan besar dalam memperluas keterangkuman kewangan, justeru perkara ini merupakan satu bidang yang perlu kita usahakan, iaitu syarikat swasta bekerjasama dengan sektor awam,” katanya.
Perubahan Mekanisme Jualan Apabila Pelanggan Celik Maklumat dalam Era Digital
Satu lagi aspek industri insurans yang berubah mengikut masa adalah sektor berkenaan mula menyesuaikan diri dengan trend dan senario semasa.
Sangaya Sannasi, Ketua Pegawai Agensi MCIS Life yang mempunyai pengalaman selama 37 tahun dalam menjual insurans bersama syarikat itu, mengimbau kembali zaman awalnya.
Ketika beliau mula menceburi bidang penjualan perlindungan insurans pada 1989, kunjungan dari rumah ke rumah merupakan kaedah jualan yang lazim.
Menjual insurans pada zaman itu agak sukar kerana orang ramai sama sekali tidak memahami apa itu insurans, katanya.
Keadaan ini menjadi lebih sukar kerana ‘terdapat kepercayaan jika seseorang membeli insurans atau menginsuranskan diri, mereka akan meninggal dunia dalam masa terdekat’.
“Jadi, kami (ejen insurans) benar-benar perlu turun ke peringkat akar umbi untuk mendidik mereka. Ia agak sukar untuk menjual, terutamanya disebabkan oleh faktor kemampuan kewangan,” kata Sangaya yang telah mendedikasikan keseluruhan 52 tahun beliau kepada industri insurans.
Bagaimanapun, beliau berkata senario itu telah berubah hari ini kerana ramai orang kini menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat tentang produk yang mereka rancang sebelum bertemu dengan ejen.
Beliau menekankan sesetengah bakal pelanggan mengetahui tentang produk baharu yang dirancang untuk diperkenalkan oleh syarikat sebelum ia dilancarkan dan ingin tahu mengenainya dengan lebih mendalam, dan ini menuntut ejen supaya benar-benar bersedia apabila berdepan dengan bakal pelanggan atau pelanggan sedia ada.
Apabila ditanya apakah pengalaman paling memuaskan selepas mendedikasikan lebih lima dekad dalam industri itu, beliau berkata ia ketika pemegang polisi menerima bayaran matang mereka atau penyelesaian tuntutan kematian oleh keluarga mereka, yang akhirnya menjamin masa depan anak-anak pemegang polisi berkenaan.
“Bahagian paling penting yang paling saya sukai apabila menjual insurans kepada generasi keempat, bermula daripada datuk, kepada bapa, anak-anak dan kini generasi keempat, yang sedang saya lakukan sekarang.
“Ia mencerminkan kepercayaan mendalam yang telah dibina dari semasa ke semasa antara pemegang polisi dan ejen insurans,” kata Sangaya dengan penuh bangga.
Membangunkan Negara yang Progresif Melalui Perlindungan Kewangan
Sementara itu, Ketua Pengurus Agensi Gabungan MCIS Life di Seremban Edie Amin Malek berpendapat pencapaian sesebuah negara yang merdeka dan progresif tidak seharusnya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata.
Menurut beliau, tahap perlindungan kewangan rakyat merupakan penanda aras sebenar kepada kemajuan sesebuah negara sejak mencapai kemerdekaan.
"Negara yang progresif bukan sahaja diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pembangunan infrastruktur. Tidak berguna jika kita mempunyai bangunan pencakar langit dan pusat membeli-belah mewah tetapi rakyat tidak mampu atau terbeban dengan hutang.
"Kadangkala rakyat terjerat dengan masalah kewangan hanya kerana terpaksa menanggung bil hospital akibat tidak mempunyai perlindungan insurans," kata Edie yang telah berkhidmat dengan syarikat itu selama 20 tahun.
Justeru, beliau menegaskan akses luas kepada perlindungan kewangan dan insurans merupakan elemen penting dalam memastikan sesebuah keluarga tidak terjerumus ke dalam kemelut kewangan, sekali gus menjadi tiang asas kepada kemajuan negara yang mampan.
Sependapat dengan Edie, Ketua Pengurus Agensi MCIS Life Yee Jen Cheong menyatakan kemerdekaan bukan sekadar bermakna kemerdekaan politik, tetapi juga merangkumi kebebasan kewangan, jaminan dan daya tahan kewangan.
“Apabila sebuah keluarga dapat menangani kos rawatan penyakit serius seseorang ahli keluarga tanpa kehilangan rumah mereka atau apabila anak-anak dapat meneruskan pengajian tinggi walaupun kehilangan ibu bapa mereka, ini adalah satu lagi bentuk kemerdekaan,” kata Yee yang telah berkhidmat dengan MCIS Life selama 34 tahun.
MCIS Life merupakan syarikat insurans tempatan yang ditubuhkan sejak 1954 dan entiti pertama serta satu-satunya yang bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) untuk memastikan potongan insurans berjalan lancar bagi semua sektor perkhidmatan kerajaan Malaysia dan polisi pertamanya dimulakan awal 1971.
Syarikat itu juga merupakan antara perintis yang menyediakan perniagaan ‘perkhidmatan dari rumah’ pada awal 1990-an.
Produk yang ditawarkan merangkumi perlindungan hayat, pendidikan anak-anak dan keperluan endowmen untuk memastikan konsep perlindungan dapat disampaikan kepada rakyat serta memastikan mereka terus mendapat perlindungan melalui penyediaan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka.
MCIS adalah salah satu daripada lima penanggung insurans panel yang dipilih oleh Persatuan Insurans Kebangsaan Malaysia, yang kini dikenali sebagai Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) pada 1998 untuk mengedarkan pelan mikro insurans yang dinamakan Teras Malaysia.
-- BERNAMA