McDonald’s Malaysia, TNB Perkukuh Kerjasama Tenaga Bersih
Oleh Siti Azila Alias
BATU KAWAN, 24 Ogos (Bernama) -- McDonald’s Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga boleh baharu dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui pemasangan solar atas bumbung, penyumberan elektrik boleh baharu dan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan kemampanan di seluruh rangkaian restorannya.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata sistem solar atas bumbung akan dipasang di 51 lagi restoran dalam tempoh fasa terbaru, dengan anggaran kapasiti gabungan sebanyak 1.685 megawatt-puncak (MWp).
“Ini adalah tambahan kepada 100 restoran yang telah kami pasang sepenuhnya dengan sistem panel solar fotovolta.
“Jadi, visi dengan TNB dan GSPARX (anak syarikat TNB, GSPARX Sdn Bhd) adalah menjelang akhir 2027, kami akan mempunyai 200 hingga 250 restoran yang dilengkapi dengan panel solar fotovolta,” katanya kepada Bernama selepas pengumuman Kerjasama Tenaga Boleh Baharu McDonald’s Malaysia dan TNB di restoran McDonald’s Pandu Lalu Batu Kawan di sini baru-baru ini.
Kerjasama disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow itu melibatkan pemeteraian Perjanjian Bekalan untuk Tenaga Boleh Baharu (SARE) bagi fasa seterusnya program solar atas bumbung McDonald’s, penyampaian sijil Tarif Elektrik Hijau (GET) dan pelancaran rasmi kemudahan pengecasan EV TNB Elektron.
Perjanjian SARE dimeterai oleh Azmir bagi pihak McDonald’s Malaysia manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad mewakili syarikat utiliti tersebut.
Berdasarkan projek solar terkini, GSPARX akan membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara sistem solar atas bumbung, dengan pelaksanaan dijangka bermula tahun ini dan siap menjelang 2027.
Pengembangan itu dibina berasaskan fasa pertama kerjasama yang diwujudkan pada 2023, meliputi 100 restoran McDonald’s Pandu Lalu terpilih di seluruh negara.
Azmir berkata penggunaan tenaga solar adalah sebahagian langkah McDonald’s yang meluas ke arah tenaga daripada sumber mampan di samping membantu mengurangkan kebergantungan kepada elektrik daripada grid.
“Kami yakin dengan sumber yang mampan. Dari segi tenaga mampan, kami memulakannya pada 2016. Kami memasang panel solar kami sendiri di atas bumbung di Putrajaya,” katanya.
McDonald’s Malaysia juga merancang untuk melanggan GET TNB bagi sehingga 285 restoran atau akaun elektrik, yang kini mencatat purata penggunaan elektrik bulanan gabungan kira-kira 15.5 gigawatt-jam (GWh).
Inisiatif itu akan menjadikan McDonald’s Malaysia sebagai pengendali restoran khidmat segera pertama dan terbesar di negara ini yang melanggan GET, yang membolehkan perniagaan memenuhi sebahagian atau semua penggunaan elektrik mereka dengan elektrik boleh baharu yang dibekalkan melalui grid nasional.
Mengenai mobiliti hijau, Azmir berkata McDonald’s kini mempunyai kemudahan pengecasan EV di 12 restoran di seluruh negara dan merancang untuk meningkatkan jumlahnya kepada kira-kira 30 restoran dalam jangka masa terdekat.
“Pada masa ini kami mempunyai 12. Dua daripadanya adalah dengan Electron yang ditawarkan GSPARX, jadi masih banyak lagi yang perlu dibuka. Kami merancang untuk menyediakan pengecas EV di kira-kira 30 restoran di seluruh negara, sekurang-kurangnya satu atau dua restoran setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata dua kemudahan TNB Electron yang beroperasi terletak di McDonald’s Batu Kawan dan McDonald’s Seri Austin di Johor.
Kemudahan di Batu Kawan, lokasi TNB Electron pertama dalam sektor makanan dan minuman, dilengkapi pengecas pantas DC 200 kilowatt (kW) dengan dua terminal pengecasan, boleh ditambah kepada empat terminal, dan beroperasi 24 jam sehari.
Melangkaui tenaga boleh baharu, Azmir berkata McDonald's Malaysia juga meneruskan inisiatif kemampanan lain, termasuk menghentikan beberapa barangan plastik sekali guna secara beransur-ansur, menggunakan straw kertas, mendapatkan produk teras dan pembungkusan yang lebih lestar serta mengitar semula minyak masak terpakai kepada biodiesel.
Beliau berkata 78 peratus daripada pembungkusan syarikat kini diperoleh daripada sumber boleh baharu, dikitar semula atau diperakui, manakala 97 peratus bekalan merentas enam kategori teras iaitu daging lembu, daging ayam, kopi, pembungkusan berasaskan gentian, ikan dan minyak sawit, diperoleh daripada sumber yang mampan.
Sementara itu, Chow berkata penyertaan sektor swasta adalah penting untuk memajukan tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga.
Beliau berkata kerjasama itu menunjukkan perniagaan boleh menterjemahkan aspirasi tenaga Pulau Pinang dan Malaysia kepada tindakan yang praktikal di samping membawa tenaga yang lebih bersih dan mobiliti hijau lebih dekat kepada komuniti.
Shamsul berkata kerjasama itu akan membolehkan perniagaan dan pengguna menyertai secara lebih langsung dalam peralihan tenaga Malaysia dengan mengintegrasikan tenaga boleh baharu, elektrik hijau dan pengecasan EV dengan lokasi harian, bagi menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Kerjasama itu juga menyokong Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 dan Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang, yang menyasarkan 10 peratus penggunaan tenaga boleh baharu dan pengurangan intensiti tenaga elektrik sebanyak 25 peratus menjelang 2030.
-- BERNAMA