Kematangan Institusi, Dasar Konsisten Tunjang Ekonomi Negara, Tarik Keyakinan Pelabur
Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar dan Nor Azeera Adam
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Keupayaan institusi negara untuk terus berfungsi secara profesional dengan dasar strategik yang jelas dan konsisten menjadi antara kekuatan utama Malaysia dalam mengekalkan daya tahan ekonomi dan keyakinan pelabur, meskipun berdepan persekitaran politik tempatan yang dinamik.
Pensyarah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Lutfan berkata kestabilan dasar kekal menjadi pertimbangan utama pelabur yang mahukan kerajaan berfungsi dengan baik, keputusan yang boleh diramal, kontrak dihormati serta institusi berkeupayaan melaksanakan dasar.
Katanya, institusi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), badan kehakiman, perkhidmatan awam dan Suruhanjaya Sekuriti memainkan peranan sebagai benteng ketahanan yang memastikan kestabilan serta kesinambungan sistem negara.
“Institusi ini perlu profesional dan boleh diharapkan walaupun berlaku perubahan politik kerana persoalan utama pelabur bukan sekadar siapa yang memerintah, tetapi adakah sistem terus berfungsi.
“Sesebuah negara masih boleh mendapat keyakinan pelabur meskipun berdepan persaingan politik sengit, selagi dasar percukaian, perdagangan, pelaburan, tenaga dan peraturannya kekal jelas, dengan kestabilan dasar menjadi ukuran lebih langsung kepada pelabur,” katanya kepada Bernama.
Semalam, BNM mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 melonjak kepada 6.0 peratus, sekali gus mencatatkan prestasi pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014.
Menurut BNM pencapaian itu turut didorong oleh dasar yang konsisten dan asas kukuh ekonomi Malaysia yang terus menyokong keyakinan pelabur walaupun terdapat kebimbangan terhadap persekitaran politik domestik.
Mengulas lanjut, Lutfan berkata kekuatan ekonomi Malaysia turut disokong oleh agenda reformasi yang berterusan menerusi kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Beliau berkata pelaksanaan pelan jangka panjang termasuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memberi hala tuju yang amat diperlukan bagi menyediakan persekitaran pelaburan yang meyakinkan.
"Kesinambungan reformasi perlu terus diterjemahkan kepada hasil menerusi pelaksanaan berkesan termasuk memastikan kesiapsiagaan tenaga dan air, ketersediaan bakat, penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri serta keupayaan agensi pelaksana,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ahmad Faiz Yaakob berkata para pelabur akan yakin untuk menanam modal sekiranya institusi dan kerangka dasar negara kekal stabil serta sistem pentadbiran terus berfungsi berdasarkan peraturan yang jelas, merit dan kecekapan.
Beliau berkata sebarang perubahan dasar utama perlu melalui proses perundingan, penilaian kesan dan tempoh peralihan munasabah, manakala hasil sebenar reformasi perlu dilaporkan bagi mencerminkan keberkesanan pelaksanaannya.
Namun, katanya, sebarang ketidaktentuan politik hingga membawa kepada perubahan dasar, kelewatan pelaksanaan atau percanggahan keputusan kerajaan boleh menyebabkan pelaburan ditangguhkan, kos perniagaan meningkat, skala projek dikecilkan dan modal baharu dialihkan ke negara lain.
Sehubungan itu Ahmad Faiz berkata kerajaan perlu memastikan dasar strategik mempunyai kesinambungan melangkaui satu penggal politik kerana dalam realiti globalisasi, modal, teknologi dan bakat boleh bergerak dengan pantas.
“Reformasi dalam bidang tenaga, teknologi, fiskal, pembangunan bakat dan pemudahcaraan perniagaan memerlukan masa untuk menunjukkan hasil, namun pelaksanaannya secara berterusan dan teratur dapat membantu pelabur menilai serta mengurus risiko dengan lebih baik.
“Pelabur bukan sahaja menilai apa yang diumumkan kerajaan, tetapi apa yang benar-benar berlaku apabila berurusan dengan institusi kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA