Bursa Malaysia Ditutup Rendah, Minat Belian Sektor Terpilih Meningkat Susulan KDNK Suku Kedua 6.0 Peratus

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat, walaupun sektor utiliti, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kewangan menyaksikan minat belian yang tinggi susulan pengumuman pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia pada 6.0 peratus.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.32 mata kepada 1,727.39 daripada 1,734.71 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi sedikit, naik 0.01 mata kepada 1,734.72 dan bergerak turun naik antara paras 1,726.77 dan 1,734.72 sepanjang hari.

Ad Banner

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 619 berbanding 538, manakala 554 kaunter tidak berubah, 1,117 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.50 bilion unit bernilai RM2.59 bilion daripada 3.51 bilion unit bernilai RM3.05 bilion pada Khamis.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah walaupun pertumbuhan KDNK untuk suku kedua 2026 Malaysia pada 6.0 peratus, yang lebih kukuh daripada jangkaan menunjukkan sifat pasaran yang berpandangan ke hadapan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Sebahagian besar naratif pertumbuhan positif nampaknya telah diambil kira dalam pasaran, manakala aktiviti domestik yang lebih kukuh mungkin boleh mengurangkan jangkaan untuk melonggarkan dasar monetari yang seterusnya.

"Sehubungan itu, pelabur mengalihkan tumpuan mereka daripada pertumbuhan KDNK kepada kemampanan pertumbuhan pada separuh kedua 2026 dan yang lebih penting, sejauh mana pertumbuhan itu diterjemahkan kepada pendapatan korporat," kata beliau.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group masing-masing mendatar pada RM10.60 dan RM7.95; Public Bank susut tiga sen kepada RM5.13, Tenaga Nasional berkurangan dua sen kepada RM14.48 dan IHH Healthcare susut tujuh sen kepada RM8.20.

Bagi saham paling aktif, JAKS Resources and Tanco Holdings masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 10.5 sen dan 26 sen; Key ASIC susut setengah sen kepada 7.5 sen, HHRG merosot dua sen kepada 13.5 sen dan Kronologi Asia menokok dua sen kepada 12 sen.

Dalam kalangan saham paling untung, Hong Leong Industries naik 32 sen kepada RM18, Ranhill Utilities melonjak 30 sen kepada RM2.66, Critical Holdings menambah 19 sen kepada RM2.11, Ideal Capital meningkat 17 sen kepada RM3.68 dan Hong Leong Bank mengukuh 16 sen kepada RM22.50.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut 80 sen kepada RM102.70, United Plantations merosot 42 sen kepada RM32.88, Malaysian Pacific Industries susut 34 sen kepada RM47.50, Press Metal Aluminium jatuh 28 sen kepada RM7.70 dan Dutch Lady Milk Industries berkurangan 20 sen kepada RM31.50.

Bagaimanapun, dagangan saham Hextar Global Bhd yang digantung, akan disambung semula pada 9 pagi Isnin, 17 Ogos sementara menunggu pengumuman penting. Pengantungan itu berkuat kuasa pada 2.30 petang hari ini dan berterusan sehingga tamat sesi dagangan, menurut makluman Bursa Malaysia.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 50.13 mata kepada 5,294.78, Indeks FBM Emas susut 43.10 mata kepada 12,815.44 dan Indeks FBMT 100 merosot 46.44 mata kepada 12,626.26.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 65.75 mata kepada 12,629.23 dan Indeks FBM 70 susut 37.02 mata kepada 18,293.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 20.99 mata kepada 20,336.03, Indeks Tenaga merosot 3.86 mata kepada 779.46, Indeks Perladangan menyusut 46.26 mata kepada 9,327.40 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 2.25 mata kepada 187.23.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.80 bilion unit bernilai RM2.23 bilion daripada 1.77 bilion unit bernilai RM2.64 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 903.76 juta unit bernilai RM128.03 juta daripada 956.43 juta unit bernilai RM137.35 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 791.17 juta unit bernilai RM237.96 juta daripada 784.66 juta unit bernilai RM267.74 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 242.12 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (332.99 juta), pembinaan (228.77 juta), teknologi (425.83 juta), perkhidmatan kewangan (56.50 juta), hartanah (192.42 juta), perladangan (25.28 juta), amanah pelaburan hartanah (REIT) (12.34 juta), dana tertutup (17,000), tenaga (67.40 juta), penjagaan kesihatan (51.11 juta), telekomunikasi dan media (42.07 juta), pengangkutan dan logistik (68.15 juta), utiliti (63.48 juta) dan amanah perniagaan (1.31 juta).

-- BERNAMA