BERITA TERKINI   Tiga individu termasuk nenek tiri ditahan kes bunuh cucu perempuan berusia satu tahun empat bulan di Kota Tinggi pada 2 Ogos - Ketua Polis Johor | Kerajaan akan laksanakan reformasi dan islah sedayanya termasuk perkukuhkan Akta TH dan tadbir urus - Dr Zulkifli | TH beli tanah di TRX daripada 1MDB, dengan persoalan timbul apabila CEO TH merupakan ahli lembaga pengarah 1MDB | TH labur dalam Putrajaya Perdana, pengerusi TH ketika itu sebagai pengerusi Putrajaya Perdana dan syarikat terkait dalam urus niaga 1MDB dengan kerugian RM145.3 juta | Al-Rawda diarah bayar SAR899 juta, namun hanya bayar sebahagian apabila didapati tidak mempunyai kemampuan kewangan, sebanyak SAR14.9 juta sebelum gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian | 

Kerajaan 'Bailout' TH Lebih RM10 Bilion Untuk Pulihkan Kedudukan Kewangan, Bukan Jual Aset 

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan telah menyelamatkan Tabung Haji (TH) dengan ‘bailout’ melebihi RM10 bilion akibat kerakusan penyelewengan bagi memulihkan kedudukan kewangan dan bukan untuk mengambil aset institusi berkenaan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menegaskan tiada aset yang dijual kepada bukan Islam mahupun kepada kaum Cina seperti yang difitnahkan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menanamkan kebencian dan membuat hasutan. 

Aset ini adalah hak milik Urusharta Jamaah, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, katanya pada sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini.

Ad Banner

Beliau berkata TH berdepan dengan situasi genting apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti TH telah melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018 dengan hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian. 

“TH ketika itu adalah tidak solven dan perlu diselamatkan. Keadaan tersebut akhirnya memaksa Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan (bailout) TH dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya TH kembali solven serta kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Zulkifli berkata krisis TH tidak berlaku dalam sekelip mata, malah ia adalah kesan terkumpul daripada kerakusan dan penyelewengan, kelemahan tadbir urus, campur tangan kepentingan tertentu, keputusan pelaburan berisiko serta kegagalan menggambarkan kedudukan kewangan secara telus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya pelan pemulihan dan reformasi institusi oleh TH yang dilaksanakan sejak tahun 2018 telah berjaya membawa hasil yang positif. 

“Kesemua reformasi yang dilaksanakan ini jelas telah membuahkan kejayaan kepada pengukuhan TH yang lebih mampan pada hari ini. Buktinya jelas apabila penstrukturan semula aset dan liabiliti telah berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH. 

“Di samping itu, TH juga telah dapat membersihkan kunci kira-kira serta membina semula rizab kewangan yang lebih kukuh,” katanya.

Zulkifli berkata TH juga telah berjaya mencatatkan rekod pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarah, iaitu sebanyak RM4.64 bilion pada 2025 hasil daripada peningkatan kualiti pelaburan serta pengukuhan tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan institusi.

TH turut membuktikan komitmen dalam meletakkan keutamaan kepada kepentingan pendeposit setelah berjaya meningkatkan kadar agihan keuntungan secara berperingkat daripada 1.25 peratus bagi tahun 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025.

Ini sekali gus mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun walaupun setelah mengambilkira RM2.6 bilion aset legasi yang bermasalah sejak sebelum 2018 lagi yang perlu dirosot nilai selepas tahun 2018 sehingga 2025. 

Beliau berkata di bawah kepimpinan Pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang profesional dan berwibawa, TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik tanpa campur tangan kerajaan.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022

-- BERNAMA