BERITA TERKINI   Kerajaan berhasrat tambah peruntukan untuk usahawan kecil dalam Belanjawan 2027 - PM Anwar | Piala ASEAN FIFA: Bangladesh 0-3 Malaysia | Pengarah filem terkenal Tan Sri L. Krishnan meninggal dunia pada usia 103 tahun di Chiang Mai pada Khamis: keluarga | SPRM akan serah notis pengisytiharan harta kepada Datuk Seri Saravanan, isteri dan tiga anaknya Isnin ini - KP SPRM | Tokoh perfileman negara Tan Sri L. Krishnan meninggal dunia semalam di Chiang Mai, Thailand pada usia 104 tahun - KPE FINAS | 

Rangka Kerja Penetapan Harga DRG MediAsas Berasaskan Bil Hospital RM4.8 Bilion

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Data yang menjadi asas kepada rangka kerja penetapan harga Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) MediAsas menunjukkan pembayar pihak ketiga menanggung bil hospital berjumlah RM3.9 bilion, manakala RM932 juta dibayar sendiri oleh pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata syarikat itu akan memperkenalkan penetapan harga berasaskan DRG, yang akan mengubah kaedah pembayaran kepada hospital daripada sistem bayaran mengikut perkhidmatan secara terperinci kepada bayaran tetap bagi keseluruhan kes berdasarkan diagnosis, prosedur dan tahap keterukan penyakit.

"Pelaksanaannya akan menggunakan pendekatan berfasa dan hibrid, dengan menggabungkan elemen DRG dan bayaran perkhidmatan bagi mengelakkan gangguan secara mendadak terhadap struktur hasil hospital.

Ad Banner

"DRG tidak mengubah keputusan klinikal atau perjalanan rawatan pesakit. Ia hanya mengubah cara hospital menerima bayaran selepas rawatan selesai," katanya pada taklimat media mengenai insurans/takaful perubatan dan kesihatan anjuran Bank Negara Malaysia hari ini.

Beliau berkata setakat ini, lebih 150 hospital swasta dan lebih 2,500 profesional penjagaan kesihatan telah menjalani latihan dalam pengekodan klinikal dan piawaian data, yang penting bagi memastikan pengelasan kes serta pembayaran balik di bawah sistem DRG dapat dilaksanakan dengan tepat.

ProtectHealth merupakan entiti milik kerajaan dan tidak berorientasikan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan yang dipertanggungjawabkan untuk menyokong pelaksanaan sistem berkenaan, termasuk membangunkan rangkaian penyedia perkhidmatan, mengurus platform data serta memperkukuh keupayaan industri.

Ad Banner
Ad Banner

Taklimat media itu turut menjelaskan bahawa MediAsas tidak bertujuan untuk menghapuskan inflasi perubatan kerana kos penjagaan kesihatan akan terus meningkat disebabkan beban penyakit, perubahan demografi, inflasi upah dan kemajuan perubatan.

Inisiatif lebih menyeluruh di bawah Strategi RESET akan menangani faktor yang mendorong inflasi perubatan, manakala MediAsas memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses individu kepada perlindungan perubatan.

Pelan itu bertujuan menyediakan pilihan perlindungan penjagaan kesihatan yang mampu milik serta menyokong kemampanan jangka panjang, khususnya bagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan atau menghadapi kesukaran untuk mendapatkannya.

MediAsas juga melengkapi usaha lebih luas untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta dan awam, namun tidak bertujuan memenuhi semua keperluan penjagaan kesihatan pengguna atau menggantikan perlindungan sejagat yang disediakan sistem kesihatan awam.

-- BERNAMA