Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Harga Minyak Mentah, Minyak Kacang Soya Lemah

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh pasaran minyak mentah dan minyak kacang soya yang suram.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga MSM mengalami tekanan berikutan penurunan di pasaran minyak mentah dan minyak kacang soya susulan keyakinan terhadap kemungkinan perjanjian damai berkaitan konflik Asia Barat.

Ad Banner

“Kami melihat harga disokong pada paras melebihi RM4,600 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,750 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan di Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM rendah sepanjang dagangan hari ini memandangkan sokongan daripada pasaran minyak mentah berkurangan.

“Penurunan ketara harga minyak mentah sebahagian besarnya menjadi punca kepada kelemahan niaga hadapan minyak sawit,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan pada Ogos 2026 turun RM40 kepada RM4,551 satu tan; September 2026 berkurangan RM47 kepada RM4,630 satu tan dan Oktober 2026 susut RM49 kepada RM4,673 satu tan.

November 2026 menguncup RM48 kepada RM4,705 satu tan; Disember 2026 susut RM47 kepada RM4,732 satu tan dan Januari 2027 turun RM43 kepada RM4,757 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 62,982 lot daripada 118,819 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 306,703 kontrak daripada 306,540 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan susut RM50 kepada RM4,560 satu tan.

-- BERNAMA