Trend Semakan Kadar Sewa Runcit Dijangka Berterusan Hingga Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) kekal optimis trend positif semakan kadar sewa runcit akan berterusan sehingga separuh kedua 2026 berikutan rundingan pembaharuan berkaitan yang giat dijalankan.

Dana amanah pelaburan hartanah (REIT) itu mencapai semakan sewa runcit yang positif pada 11.6 peratus bagi separuh pertama 2026  di samping mengekalkan kadar penghunian keseluruhan portfolio pada 94.4 peratus setakat 30 Jun 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM) Yong Su-Lin berkata perbincangan pembaharuan sewaan yang dijadualkan pada separuh kedua tahun ini masih lagi dijalankan dan pihaknya yakin semakan kadar itu akan terus mencatatkan perkembangan menggalakkan.

Ad Banner

“Walaupun terlalu awal untuk menyatakan angka yang tepat, kami kekal positif terhadap aspek semakan sewaan yang sedang dibincangkan itu,” katanya pada sesi sidang media maya mengenai prestasi kewangan CLMT bagi suku kedua tahun kewangan 2026, hari ini.

CRRM merupakan syarikat pengurusan bagi CLMT.

Sejajar usaha untuk terus menyokong permintaan penyewaan dan meningkatkan jumlah pengunjung, Yong berkata CLMT akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi di pusat beli-belah miliknya iaitu Gurney Plaza, 3 Damansara dan East Coast Mall selain meneruskan inisiatif penambahbaikan aset (AEI) di The Mines.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“AEI di The Mines masih dalam usaha itu dan akan berterusan sehingga separuh kedua. Selain itu, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, gedung beli-belah kami turut melaksanakan pelbagai acara dan aktiviti untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Menyentuh perbelanjaan pengguna, Yong berkata penurunan jualan penyewa walaupun jumlah pengunjung meningkat berpunca daripada sentimen pengguna yang masih berhati-hati serta tempoh masa yang diperlukan sebelum peningkatan jumlah pengunjung itu dapat diterjemahkan kepada pembelian sebenar.

“Memang kebiasaannya wujud kelewatan antara peningkatan jumlah pengunjung hasil aktiviti pemasaran dengan rekod jualan sebenar penyewa. Sentimen pengguna yang masih berhati-hati turut mempengaruhi corak perbelanjaan.

“Namun, barangan keperluan asas dan sektor peruncitan utama masih kekal berdaya tahan. Kebanyakan profil penyewa di pusat beli-belah adalah disebabkan keperluan dan khusus mengikut keinginan komuniti setempat,” katanya.

Yong berkata CLMT juga terus melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti peluang pengambilalihan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan, namun setakat ini belum ada sebarang urus niaga yang dimuktamadkan.

Perubahan cukai pegangan baru-baru ini pula dijangka memberi kesan minimum kepada dana amanah itu memandangkan pelabur asing, tidak termasuk penaja, hanya mewakili kira-kira 1.6 peratus daripada keseluruhan pemegang unit.

Terdahulu, CLMT melaporkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM43.99 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2026 berbanding RM35.06 juta bagi tempoh sama 2025 manakala hasil meningkat 6.3 peratus kepada RM123.05 juta daripada RM115.73 juta.

Bagi tempoh separuh pertama 2026, keuntungan bersihnya turut meningkat kepada RM89.80 juta berbanding RM72.55 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya dan hasil menokok 6.1 peratus kepada RM250.43 juta daripada RM236.10 juta.

Dana amanah itu mencatat peningkatan 13.6 peratus dalam pendapatan hartanah bersih kepada RM157.8 juta serta mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 2.65 sen seunit arau meningkat 7.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA