Unit Destini Peroleh Kontrak MRO Berjumlah RM45.58 Juta Daripada Perbadanan Aset Keretapi

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Anak syarikat 70 peratus milik Destini Bhd (Destini), iaitu M Rail Technics Sdn Bhd (Railtec) telah memperoleh kontrak bernilai RM45.58 juta daripada Perbadanan Aset Keretapi untuk melaksanakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi 13 set kereta api.

Menurut penyedia penyelesaian kejuruteraan itu unit tersebut akan menjalankan perkhidmatan Tahap 1 dan Tahap 2 (L1-L2) bagi set kereta api unit pelbagai diesel (DMU) Kelas 61. 

“Kontrak selama 24 bulan ini akan bermula dari 1 September 2026 hingga 31 Ogos 2028. 

Ad Banner

“Ia melengkapkan keupayaan MRO rel spektrum penuh Railtec L1 hingga L4, yang meliputi keseluruhan kitaran hayat aset kereta api, daripada penyelenggaraan operasi harian yang kritikal hingga baik pulih berat peringkat lanjutan,” kata Destini dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Mengikut kontrak itu, Railtec dikehendaki menyediakan bon prestasi sebanyak RM1.14 juta dan menjalankan Latihan dan Pendidikan Profesional bagi Perkembangan Usahawan – Sedia Bekerja (PROTÉGÉ-RTW) dengan kos ditanggung oleh Railtec.

Sementara itu, Railtec yang ditubuhkan pada 2021, merupakan usaha sama antara Destini dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) serta penyedia MRO rel Tahap 4 (L4) tunggal Malaysia. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perbadanan Aset Keretapi pula menguruskan segala aset, hak dan liabiliti bekas Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebelum 1 Ogos 1992, bagi memastikan syarikat pengganti, iaitu KTMB, beroperasi bebas daripada hutang legasi serta beban kewangan bukan operasi.

-- BERNAMA