PGF Capital Catat Untung Bersih RM8.9 Juta, Naik 18.3 Peratus

GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- PGF Capital Bhd, pengeluar bahan penebat terkemuka Asia Tenggara yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, mencatat peningkatan untung bersih sebanyak 18.3 peratus tahun ke tahun kepada RM8.9 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 berakhir 31 Mei, 2026, berbanding RM7.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Hasil meningkat 7.8 peratus kepada RM43.7 juta daripada RM40.6 juta sebelumnya, mencerminkan momentum berterusan serta permintaan yang kekal berdaya tahan terhadap segmen teras penebatan kumpulan itu.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan segmen penebatan kekal penyumbang utama hasil dengan menjana RM43.6 juta atau 99.6 peratus daripada keseluruhan hasil, berbanding RM40.5 juta pada 1QFY2026.

Ad Banner

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PGF Capital Fong Wern Sheng, berkata permintaan berterusan daripada pasaran utama kumpulan, khususnya Oceania, disokong oleh piawaian kecekapan tenaga yang ditetapkan peraturan, menjadi pemacu utama prestasi suku berkenaan.

"Berikutan momentum ini, kumpulan sedang giat meneroka peluang untuk memasuki pasaran antarabangsa baharu yang mempunyai peraturan ketat berkaitan penebatan dan kecekapan tenaga.

"Kami percaya langkah itu akan membuka ruang pertumbuhan tambahan serta mengukuhkan lagi jejak global kumpulan," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata, kilang baharu PGF Capital di Kulim, Kedah kini berjalan mengikut perancangan dengan kerja pemasangan mesin, saluran paip gas dan infrastruktur elektrik sedang dilaksanakan.

"Kilang itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun kewangan 2027, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi menyokong pertumbuhan segmen penebatan di pasaran domestik dan antarabangsa," katanya.

PGF Capital memaklumkan kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh, disokong oleh nisbah gear bersih 0.5 kali, aset bersih sesaham sebanyak RM1.52 serta aliran tunai operasi bersih RM1.34 juta bagi suku berkenaan, sekali gus mencerminkan daya tahan operasi terasnya.

-- BERNAMA