CLMT Catat Keuntungan Bersih Lebih Tinggi Sebanyak RM43.99 Juta Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Capitaland Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM43.99 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (S2 TK2026) berbanding RM35.06 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat amanah pelaburan hartanah itu berkata pendapatan meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada RM123.05 juta pada suku kedua 2026 daripada RM115.73 juta pada suku kedua 2025.

Ini disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi yang direkodkan oleh kebanyakan hartanah dalam portfolio CLMT pada 2025 iaitu Senai Airport City Facilities, Synergy Logistics Hub dan Iskandar Puteri Facilities.

Ad Banner

Bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2026, keuntungan bersih CLMT meningkat kepada RM89.80 juta berbanding RM72.55 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Perolehan juga meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM250.43 juta berbanding RM236.10 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi yang direkodkan oleh kebanyakan hartanah dalam portfolio CLMT iaitu hasil daripada pembalikan sewa yang positif, peningkatan sumber dan sumbangan daripada aset perindustrian serta logistik yang diperoleh pada 2025, iaitu Senai Airport City Facilities, Synergy Logistics Hub dan Iskandar Puteri Facilities.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, pendapatan hartanah bersih bagi separuh pertama 2026 meningkat sebanyak 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM157.8 juta. 

Prestasi yang berdaya tahan itu didorong terutamanya oleh prestasi yang lebih kukuh kebanyakannya daripada hartanah sedia ada dan pengiktirafan pendapatan daripada pengambialihan perindustrian dan logisitk yang selesai pada 2025. 

Pada masa sama, CLMT turut mengumumkan pendapatan boleh agih sebanyak RM89.2 juta bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 30 Jun 2026, iaitu 24.1 peratus lebih tinggi daripada RM71.2 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Oleh itu, pengagihan seunit meningkat sebanyak 7.7 peratus tahun ke tahun kepada 2.65 sen.

“Kami terus meningkatkan daya tarikan dan daya saing portfolio kami bagi memenuhi perubahan pilihan pembeli menerusi pengukuhan campuran penyewa yang diurus dengan baik dengan pengembangan tawaran gaya hidup, barangan runcit, makanan dan minuman di pusat beli belah terpilih. 

“Kesemua inisiatif ini memberi pengalaman runcit yang baharu kepada pembeli dan dijangka memacu jumlah pengunjung dan meningkatkan jualan penyewa,” Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd, Yong Su-Lin.

Beliau berkata walaupun persekitaran global masih tidak menentu, CLMT akan mengekalkan perdekatan berhemat bagi peremajaan portfolio. 

“Dipacu oleh pengurusan modal yang berdisiplin dan strategi pertumbuhan yang proaktif, kami kekal tangkas dalam merebut peluang baharu muncul untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit kami,” kata Yong. 

Setakat 30 Jun 2026, kadar penghunian runcit CLMT kekal stabil pada 93.2 peratus.

Sementara itu, kadar portfolio penghunian keseluruhan termasuk hartanah logistik dan perindustrian, berada pada 94.4 peratus. 

Portfolio runcit CLMT mencapai pembalikan sewa yang positif sebanyak 11.6 peratus bagi separuh pertama 2026. 

-- BERNAMA